Hari Bekerja Hibrid sebahagian reformasi perkhidmatan awam

LocalPolitics
25 Jul 2026 • 8:33 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hari Bekerja Hibrid sebahagian reformasi perkhidmatan awam

PUTRAJAYA: Pelaksanaan Dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH) mulai 1 Ogos ini, sebahagian agenda reformasi berterusan kerajaan dalam memodenkan perkhidmatan awam melalui amalan kerja yang berorientasikan hasil.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, ini termasuk memanfaatkan teknologi digital dengan sistem pemantauan yang akan memastikan integriti, prestasi dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berada pada tahap terbaik.

Dasar itu melibatkan pegawai awam yang mana kehadiran bekerja lima hari seminggu di pejabat diubah kepada gabungan kehadiran bertugas secara fizikal di pejabat tiga hari dan bekerja di rumah atau lokasi lain sebanyak dua hari.

“Pelaksanaan HBH hendaklah dipastikan tidak akan menjejas atau menyebabkan kualiti penyampaian perkhidmatan dan prestasi kerja pegawai. Ke­tua jabatan hendaklah menetapkan dan memantau pencapaian tugasan pegawai HBH yang terlibat.

“Ini salah satu inisiatif kalis masa hadapan dengan ketersediaan pegawai awam untuk menyam­paikan perkhidmatan dalam apa juga perubahan global dan cara kerja akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sejurus pelaksanaan HBH, syarat terdahulu bekerja dari rumah (BDR) iaitu jarak perjalanan sehala dari pejabat ke rumah melebihi 8 kilometer (km) tidak lagi terpakai dan penjawat awam wajib memasuki pejabat pada Isnin dan Jumaat.

Dasar itu juga dilaksanakan untuk semua perkhidmatan awam di peringkat Persekutuan dan negeri. Namun, tertakluk kepada penerimaan oleh pihak berkuasa masing masing, semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan.

Menurut Wan Ahmad Dahlan, pelaksanaan HBH hendaklah memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan ber­­jalan seperti biasa dan tidak menjejaskan penyampaian per­khidmatan kepada rakyat.

Katanya, pegawai yang dikecualikan HBH adalah mereka yang bertugas dalam sektor ke­selamatan, pertahanan dan penguatkuasaan yang bertugas di lapangan, kawalan sempadan, risikan dan perlu bersiap siaga.

Pengecualian turut melibatkan pegawai yang bertugas dalam sektor pendidikan yang terlibat dengan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah, sektor kesihatan di hospital dan fasiliti kesihatan lain, pegawai bertugas di mahkamah yang memerlukan kehadiran fizikal serta perkhidmatan bersemuka dengan pelanggan.

Katanya, ketua jabatan perlu mengenal pasti pegawai yang la­yak mengikut peraturan ditetapkan dan tidak memerlukan arahan atau permohonan khusus.

“Pegawai yang tidak dapat mencapai output ditetapkan, mempunyai masalah ke­hadiran atau mempunyai masalah untuk dihubungi dalam hari dan tempoh waktu bekerja tanpa sebarang alasan yang munasabah, kelayakan HBH boleh ditarik balik oleh ketua jabatan sehingga prestasi dan kehadiran pegawai adalah baik,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakob berkata, HBH berpotensi meningkatkan produktiviti penjawat awam terutama bagi tugas yang tidak memerlukan keha­diran fizikal sepenuhnya.

Katanya, ia menunjukkan usa­ha kerajaan memodenkan budaya kerja perkhidmatan awam melalui penggunaan teknologi dan penilaian berasaskan hasil. – UTUSAN

The post Hari Bekerja Hibrid sebahagian reformasi perkhidmatan awam appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved