TUMPAT - "Hari ini lengang, KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) ada."
Demikian kata-kata orang ramai setiap kali tiba di sebuah stesen minyak yang terletak beberapa kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand di sini pada Rabu semasa tinjauan dilakukan bersama agensi berkenaan.
Hal ini kerana mengikut dakwaan mereka setiap hari orang ramai akan memenuhi stesen minyak tersebut untuk mendapatkan RON95 yang diisi ke dalam tangki kenderaan masing-masing sama ada telah diubah suai atau tidak kemudian akan dijual kepada negara jiran.
Sikap tidak bertanggungjawab segelintir rakyat negara ini mengambil kesempatan di atas harga RON95 RM3.87 seliter tanpa subsidi manakala RM1.99 bagi Budi Madani yang masih murah jika dibandingkan dengan harga di Thailand RM4.24 seliter.
Peluang tersebut digunakan oleh mereka untuk mengaut keuntungan dengan menjual bahan api tersebut kepada negara jiran.
**media[3478239]**
Seorang penduduk, Mahadi Mohd Nor, 53, berkata, dia kecewa apabila melihat rakyat negara sendiri terlibat dengan kegiatan penyeludupan seolah-olah mahu mensabotaj subsidi yang diberikan oleh kerajaan.
"Hasil pemerhatian saya, stesen minyak di sekitar sini lori sampai hari ini, esok sampai pula. Ini kerana penduduk di sini sendiri ambil minyak jual kepada negara jiran.
"Harapan saya kalau boleh pihak berkuasa kena sentiasa ada buat pemantauan. Contoh hari ini, stesen minyak tiada orang sebab anggota KPDN ada," katanya.
Dia juga mendakwa aktiviti tersebut berlarutan selepas ada sesetengah pemilik stesen minyak sendiri dipercayai seperti memberi kerjasama dan tidak memantau perkara tersebut.
Bagi Pengurus Stesen Minyak Caltex Belukar di Wakaf Bharu, Ku Muhamad Farid Aidil Ku Din berkata, sebagai pengusaha pihaknya telah memberikan arahan kepada kakitangan untuk memastikan tiada ketirisan yang berlaku.
"Sebagaimana hari ini bermula 1 April, kami tidak dibenarkan menjual minyak RON95 kepada kenderaan asing kecuali melibatkan RON97 dan diesel, bagaimanapun ia mempunyai had.
"Sebagai pengusaha, arahan ini tidak sukar untuk dituruti dan ia sebagai sokongan kepada tindakan kerajaan bagi memastikan barangan subsidi yang menjadi hak rakyat tidak disalah gunakan," katanya.


