Warga Thailand guna tong ganti kenderaan beli RON95

1 Apr 2026 • 4:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Rakyat Thailand menggunakan tong putih untuk membeli RON95 di stesen minyak di sempadan negara ini di Rantau Panjang menggantikan kenderaan selepas Kerajaan Malaysia menguatkuasakan larangan penjualan dan pembelian bahan bakar terbabit kepada kenderaan berpendaftaran asing pada Rabu.

RANTAU PANJANG - Rakyat Thailand menggunakan tong plastik untuk membeli RON95 di stesen minyak di sempadan negara ini di sini menggantikan kenderaan selepas Kerajaan Malaysia menguatkuasakan larangan penjualan dan pembelian bahan bakar terbabit kepada kenderaan berpendaftaran asing pada Rabu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati penunggang motosikal dari negara jiran itu meletakkan kenderaannya sekitar 50 hingga 100 meter dari stesen minyak dan membawa tong putih berkenaan untuk diisi dengan bahan bakar bersubsidi itu.

Hasil pemerhatian yang dijalankan, pekerja stesen minyak dilihat mengangkat nozel berwarna kuning kemudian mengisi ke dalam tong tanpa banyak persoalan.

Kemudian penunggang motosikal berkenaan berjalan semula ke kenderaan dan menaikinya melepasi Kompleks Imigresen Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

Sepanjang sejam lebih berada di sana Sinar Harian mendapati ia dilakukan oleh beberapa penunggang motosikal.

Tinjauan tersebut juga mendapati tidak lebih 20 kenderaan asing yang mengisi diesel di beberapa stesen minyak di sempadan melibatkan kenderaan jenis trak pikap dan van pelancongan Thailand.

Jumlah terbabit didakwa tidak sebanyak hari biasa dan ia dikatakan berkemungkinan selepas Kerajaan Malaysia menyekat sebarang kenderaan menggunakan pendaftaran asing tidak lagi dibenarkan membeli RON95 di negara ini.

Orang awam yang ingin dikenali sebagai Salleh Mat, 60, berkata, suasana di beberapa stesen minyak berhampiran sempadan pada hari ini dilihat tenang berbanding hari sebelumnya.

"Mungkin selepas kerajaan mengeluarkan arahan bermula 1 April tiada lagi kenderaan asing dibenarkan membeli RON95, menyebabkan hanya kenderaan penduduk setempat sahaja yang kelihatan.

"Kalau ada pun macam biasalah, pacuan empat roda dan kenderaan sedan yang dipercayai digunakan oleh mereka yang cuba menyeludup minyak RON95," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan pemandu kenderaan berpendaftaran asing yang membeli petrol RON95 bakal berdepan tindakan undang-undang apabila larangan pembelian dan penjualan bahan bakar itu diperluaskan dan berkuat kuasa mulai 1 April.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, langkah tersebut merupakan pengukuhan kepada kerangka perundangan sedia ada yang sebelum ini hanya meletakkan kesalahan kepada pengusaha stesen minyak.

"Berkuat kuasa 1 April 2026, kesalahan ini akan turut mencakupi pemandu atau pemilik kenderaan yang berpendaftaran asing," katanya.