
PUTRAJAYA: Persiapan sambutan Hari Kebangsaan 2026 yang akan berlangsung di Dataran Putrajaya Isnin ia berada pada tahap memuaskan dengan semua kontinjen dan aset terlibat menunjukkan semangat serta komitmen tinggi menjelang acara berprestij itu.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, raptai kedua yang berlangsung hari ini berjalan lancar dengan cuaca yang baik selain moral peserta daripada pelbagai agensi dan sekolah berada pada tahap terbaik.
Beliau berkata, raptai penuh akan diadakan esok sebelum sambutan rasmi Hari Kebangsaan 2026 pada Isnin ini.
“Kita lihat cuaca baik, langit kelihatan biru dan segala persiapan berjalan dengan baik.
“Saya lihat moral dalam kalangan polis, tentera dan anak-anak daripada pelbagai sekolah yang terlibat dalam persembahan grafik manusia menunjukkan semangat yang berkobar-kobar,” katanya ketika ditemui selepas meninjau raptai sambutan Hari Kebangsaan 2026 di sini hari ini.
Katanya, antara tarikan istimewa sambutan kali ini ialah penyertaan Askar Timbalan Setia Negeri Johor atau JMF selain pameran aset Bot Kelas Ibrahim yang telah direka cipta oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Jelasnya lagi, aset berkenaan direka oleh Sultan Ibrahim ketika baginda masih menjadi Sultan Johor.
“Kelainan tahun ini ialah kita ada beberapa aset dan kontinjen khas termasuk JMF serta aset maritim Kelas Ibrahim.
“Kita harap dengan semangat baharu, aset-aset baharu dan formasi yang akan dipersembahkan, orang ramai dapat menyaksikan sambutan yang menarik,” katanya.
Katanya, persiapan sambutan Hari Kebangsaan 2026 kini hampir mencapai 100 peratus selepas beberapa penambahbaikan dibuat susulan raptai kedua yang berlangsung hari ini.
Jelasnya lagi, beberapa pandangan telah disampaikan bagi memperkemas persiapan, termasuk pergerakan sesetengah kontinjen yang didapati sedikit jauh berbanding kontinjen sebelumnya. –UTUSAN
The post Hari Kebangsaan 2026: Persiapan pada tahap memuaskan – Fahmi appeared first on Utusan Malaysia.





