
KUALA LUMPUR – Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 membuka tirainya dengan misi lebih besar apabila penganjur mengharapkan saingan kali ini mampu menyaksikan atlet mahasiswa mencipta rekod baharu sekali gus meningkatkan standard temasya.
Edisi ketujuh yang berlangsung di Universiti Malaya (UM) bermula hari ini hingga 6 September menghimpunkan 8,244 atlet daripada 64 kontinjen dengan 30 jenis sukan dipertandingkan di beberapa venue sekitar Lembah Klang.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Ahmad Rizal Adnan berkata, keyakinan itu bersandarkan kemampuan atlet mahasiswa negara yang sebelum ini turut membuktikan keupayaan mencipta kejayaan di pentas lebih besar.
“Dalam mana-mana aktiviti sukan, itu antara perkara yang bukan sahaja menjadi harapan penganjur dan kementerian, tetapi juga harapan kepada pelajar ataupun atlet itu sendiri.
“Kalau kita lihat semasa Sukan Komanwel yang lepas, kita ada tiga atlet kita yang telah membawa pulang pingat emas dan ada salah seorang atlet itu juga telah memecahkan rekod pertandingan,” katanya selepas merasmikan Perkampungan Sukan SUKIPT 2026 di UM hari ini.
Malah, penganjur turut menyediakan insentif RM20,000 kepada atlet yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan, selain RM3,000 masing-masing buat Olahragawan dan Olahragawati serta RM7,000 untuk Pasukan Terbaik Lelaki dan Wanita.
Dalam pada itu, Ahmad Rizal berkata, persiapan UM selaku tuan rumah termasuk aspek penginapan, perkampungan sukan dan venue pertandingan sudah berada pada tahap terbaik selepas persiapan dilakukan sejak beberapa bulan lalu. KOSMO! ONLINE
The post SUKIPT 2026 buru ledakan rekod appeared first on Kosmo Digital.






