IPOH - Kawalan keselamatan khususnya di pentas utama sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak di sini pada Isnin dipertingkatkan, susulan keperluan memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang acara berlangsung.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, seramai 525 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi mengawal keseluruhan kawasan termasuk laluan trafik, pentas utama serta pergerakan orang ramai.
Menurutnya, jumlah anggota yang ditempatkan pada tahun ini adalah lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya sebagai langkah memperkukuh kawalan keselamatan.
"Kesemua anggota telah mula bertugas seawal jam 5 pagi bagi membuat persiapan rapi sebelum acara bermula.
"Secara keseluruhan, acara berjalan lancar dan tiada sebarang kemalangan atau insiden yang menjejaskan majlis dilaporkan setakat ini.
"Semua dalam keadaan terkawal dan Alhamdulillah, kita bersyukur kerana tiada perkara yang membimbangkan berlaku," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Dewan Bandaran Ipoh di sini.
Pada 31 Ogos tahun lalu, kejadian tidak diingini berlaku apabila seorang wanita bertindak agresif naik ke pentas utama sebelum berlari dan menarik Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semasa sambutan Hari Kebangsaan sedang berlangsung.
Tindakan tersebut mengakibatkan baginda hampir terjatuh. Wanita tersebut kemudiannya dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta dan disahkan menghidap skizofrenia
Dalam pada itu, Mohd Alwi mengesahkan telah menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan di lokasi acara sekitar jam 5 pagi.
Menurutnya, lelaki tersebut hadir dengan berpakaian kostum watak adiwira, namun tidak melakukan sebarang kekacauan.
“Dia datang untuk melihat majlis sahaja, tetapi kita mendapati kehadirannya mencurigakan, jadi tindakan pencegahan diambil dengan menahannya terlebih dahulu.
“Hasil semakan mendapati individu berkenaan mempunyai rekod kesihatan psikiatri dan akan dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau menegaskan, tindakan menahan lelaki terbabit diambil sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan semua pihak tidak terjejas.
Terdahulu, Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat bersama lebih 50,000 rakyat ke sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak di pekarangan Dewan Bandaran Ipoh di sini pada Isnin.
Keberangkatan baginda berdua pada jam 8.12 pagi disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.






