
IPOH – Seorang lelaki berpakaian kostum Ultraman dan dipercayai mengalami masalah kesihatan mental ditahan di sekitar lokasi sambutan Hari Kebangsaan 2026 peringkat negeri di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, di sini, hari ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, lelaki warga tempatan berusia 40-an itu diberkas kira-kira pukul 5 pagi selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.
Katanya, meskipun lelaki terbabit tidak melakukan sebarang gangguan, polis mengambil tindakan segera sebagai langkah pencegahan bagi memastikan keselamatan serta kelancaran sambutan yang dihadiri ribuan orang ramai.
“Lelaki itu datang ke sini untuk melihat majlis pagi ini, namun kita melihat dia dalam keadaan mencurigakan dan mengambil tindakan pantas dengan menahannya terlebih dahulu.
“Pemeriksaan awal mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod kesihatan psikiatri dan kita akan merujuknya ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sambutan Hari Kebangsaan 2026 peringkat negeri di hadapan Dewan Bandaran Ipoh, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Alwi berkata, kawalan keselamatan sepanjang sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri tahun ini berada dalam keadaan baik tanpa sebarang insiden tidak diingini dilaporkan.
Katanya, seramai 525 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran sambutan berkenaan, termasuk kawalan trafik, pentas utama dan orang ramai.
“Kita telah berada di lokasi ini kira-kira pukul 5 pagi tadi dan semua aspek kawalan dilaksanakan termasuk trafik, pentas dan orang ramai.
“Jumlah anggota yang ditugaskan tahun ini juga lebih ramai sedikit berbanding tahun lalu bagi memastikan keselamatan dan kelancaran majlis,” katanya.
Pada sambutan Hari Kebangsaan 2025 tahun lalu, orang ramai dikejutkan dengan kejadian seorang wanita menceroboh naik ke pentas utama dan cuba mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Wanita itu pada awalnya dilihat masuk melalui bahagian tepi pentas utama dan berdiri di barisan belakang sebelum berlari ke arah Sultan Nazrin yang sedang berdiri memberi tabik hormat ketika lagu kebesaran negeri Perak sedang dimainkan.
Kejadian yang berlaku pada pukul 8.20 pagi itu bagaimanapun berjaya dihentikan pasukan keselamatan yang bertindak pantas menahan suspek. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki pakai kostum Ultraman ditahan ketika sambutan merdeka appeared first on Kosmo Digital.






