Hari Kesihatan Dunia: Lebih baik cegah daripada rawat

Health & Fitness
7 Apr 2026 • 8:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pelbagai penyakit boleh dicegah atau dikawal melalui amalan gaya hidup sihat. Gambar hiasan

HARI ini merupakan Hari Kesihatan Dunia yang disambut di seluruh dunia sebagai satu inisiatif untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan.

Sambutan ini memainkan peranan penting dalam mengurangkan kos kesihatan di Malaysia melalui pendekatan pencegahan, pendidikan dan perubahan gaya hidup dalam kalangan masyarakat.

Hal ini kerana kos rawatan khususnya penyakit kronik adalah jauh lebih tinggi berbanding kos untuk mencegahnya sejak awal.

Menerusi pelbagai kempen kesedaran yang dijalankan, masyarakat didedahkan kepada kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat seperti pemakanan seimbang, bersenam secara berkala dan menghindari tabiat berisiko.

Pelbagai penyakit boleh dicegah atau dikawal melalui amalan gaya hidup sihat.

Jika penyakit tidak dicegah, pesakit mungkin memerlukan rawatan jangka panjang yang melibatkan kos yang tinggi seperti dialisis dan rawatan komplikasi lain.

Tidak dinafikan sistem kesihatan awam negara menawarkan kos rawatan yang rendah, namun menurut pakar kesihatan awam, beban sebenar yang ditanggung kerajaan semakin meningkat apabila kos penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, jantung dan kanser mencecah sekitar RM64 bilion setahun, melebihi peruntukan Kementerian Kesihatan (KKM) 2025 sebanyak RM45.27 bilion.

Tekanan ini semakin memuncak apabila Malaysia menghampiri status negara menua dengan lebih 4.1 juta warga emas dan jangka hayat mencecah 76.9 tahun, sedangkan kos rawatan golongan berusia boleh menjadi sehingga lima kali ganda lebih tinggi, termasuk rawatan kritikal seperti dialisis yang mencecah sekitar RM50,000 setahun bagi seorang pe-sakit.

Dalam masa sama, struktur kos kesihatan turut dipacu faktor lain termasuk komponen ubat-ubatan yang merangkumi 18 hingga 20 peratus perbelanjaan dan bergantung kepada import, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap kelestarian sisten ketika permintaan rawatan terus meningkat.

Oleh itu, langkah pencegahan awal bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa, malah mampu mengurangkan beban kewangan individu dan negara.

Apabila lebih ramai rakyat mengamalkan kehidupan sihat, kadar penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung dapat dikurangkan.

Kesimpulannya, Hari Kesihatan Dunia bukan sekadar sambutan simbolik, tetapi merupakan satu usaha berterusan yang mampu mengurangkan kos kesihatan negara.

Jika kesedaran ini diterjemahkan kepada tindakan, Malaysia bukan sahaja dapat melahirkan masyarakat lebih sihat, malah dapat mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh individu dan kerajaan dalam sektor kesihatan.