
Tenom: Warga tani dan masyarakat di seluruh negeri ini diseru hadir beramai-ramai memeriahkan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Sabah (HPPNS) yang berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober ini di Padang Pekan di sini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaffar (gambar) berkata penganjuran HPPNS di Tenom buat julung kalinya itu memberi peluang kepada masyarakat meraikan sumbangan golongan peladang, penternak dan nelayan.
Katanya, sambutan berkenaan turut menjadi platform untuk masyarakat mendapatkan maklumat berkaitan bantuan, subsidi dan peluang yang disediakan kerajaan dalam sektor agromakanan.
Menurutnya, pegawai daripada agensi berkaitan akan turut berada di lokasi sambutan bagi memberi penerangan serta membantu orang ramai mendapatkan maklumat mengenai pelbagai kemudahan yang ditawarkan.
Beliau berkata, HPPNS berkenaan akan dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, pada 24 Oktober, jam 10 pagi.
“Kita dapat melihat sendiri dan kalau kita berminat, ada pegawai-pegawai di sana untuk mendaftarkan diri berkenaan subsidi, bantuan dan apa saja dalam industri pertanian ini.
“Datang beramai-ramai ke Padang Pekan Tenom pada 23, 24 dan 25 Oktober kerana berbudi kepada tanah adalah sesuatu yang memberi manfaat kepada semua,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia di Dewan OKK Sanggau Jalang, Pekan Melalap, di sini.
Pelbagai pengisian dan aktiviti menarik turut disediakan sepanjang HPPNS, membabitkan golongan peladang, penternak, nelayan serta masyarakat setempat.






