
BATU PAHAT – Peperiksaan Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) yang dijadualkan berlangsung dari 6 hingga 8 Oktober ini ditangguhkan ke tarikh lain susulan keadaan jerebu yang semakin memburuk di daerah ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr. Muhammad Naqib Ghazali berkata, keputusan itu dibuat mengambil kira aspek keselamatan dan kesihatan murid berikutan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di Batu Pahat mencecah 203 pada pukul 8 malam tadi.
Menurut beliau, bacaan tersebut berada pada tahap sangat tidak sihat, sekali gus menyebabkan sekolah, tadika dan taska di seluruh daerah Batu Pahat diarahkan tutup pada 7 Oktober.
“Keselamatan dan kesihatan murid adalah keutamaan kita bersama.
“Justeru, peperiksaan murid Tahun 4 yang dijadualkan berlangsung dari 6 hingga 8 Oktober ditangguhkan sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, perkara berkaitan pentaksiran dan peperiksaan hendaklah tertakluk kepada arahan, ketetapan serta panduan semasa yang dikeluarkan pihak berkuasa pendidikan.
Dalam pada itu, beliau berkata, semua aktiviti luar bilik darjah termasuk sukan, kokurikulum, perhimpunan serta program atau keramaian di luar hendaklah ditangguhkan sekiranya bacaan IPU melebihi 100.
Katanya, langkah itu penting bagi mengurangkan pendedahan murid dan warga sekolah kepada udara tercemar.
“Sekiranya bacaan IPU melebihi 200, penutupan sekolah di kawasan yang terlibat hendaklah dilaksanakan berdasarkan ketetapan dan arahan pihak berkuasa pendidikan yang sedang berkuat kuasa,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhammad Naqib berkata, pihak sekolah perlu terus memantau tahap kesihatan murid sepanjang tempoh jerebu dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat murid yang menunjukkan tanda tidak sihat.
“Murid juga disarankan menggunakan pelitup muka yang bersesuaian apabila diperlukan, selain memastikan pengambilan air mencukupi dan mengamalkan langkah penjagaan kesihatan.
“Ibu bapa dan penjaga pula diminta memantau keadaan kesihatan anak masing-masing serta berhubung dengan pihak sekolah sekiranya mempunyai sebarang kebimbangan susulan keadaan jerebu,”katanya.-KOSMO! ONLINE
The post Jerebu: Peperiksaan MPT4 di Batu Pahat ditangguh appeared first on Kosmo Online.






