
SHAH ALAM, 5 OKT: Harimau Malaya mahu menjadikan aksi penentuan tempat ketiga Piala ASEAN FIFA 2026 menentang Vietnam di Stadium Gelora Bung Karno, Isnin ini sebagai medan menamatkan badi kekalahan terhadap pasukan berkenaan.
Pengendali interim Harimau Malaya Tan Cheng Hoe berkata skuad negara perlu mengekalkan momentum dan semangat berpasukan bagi memburu keputusan positif.
Beliau menyifatkan Vietnam antara pasukan terkuat dari segi organisasi permainan selain memiliki kekuatan dalam aspek serangan dan pertahanan.
“Kita banyak kali kalah dengan Vietnam dan kali ini kita ambil sebagai satu keyakinan serta peluang untuk mendapatkan keputusan yang baik,” katanya.
Rekod pertemuan menyaksikan Malaysia masih belum mencatat kemenangan ke atas Vietnam sejak 2016, sekali gus menjadikan perlawanan kali ini peluang menamatkan penantian tersebut.
Cheng Hoe berkata Harimau Malaya perlu tampil sebagai satu unit dan mengekalkan semangat juang tinggi sekiranya mahu menundukkan lawan.
“Kita kena kekalkan persembahan dan konsistensi kerana kita perlu bermain sebagai satu pasukan. Kita tidak boleh lupa bahawa kemenangan pasukan datang daripada semangat berpasukan yang begitu baik.
“Kita mahu Harimau Malaya bangkit semula daripada apa yang berlaku sebelum ini,” katanya, lapor Sinar Harian.
Menurutnya, pertemuan dengan Vietnam sememangnya dinantikan selepas skuad negara beberapa kali terkandas apabila berdepan pasukan berkenaan.
“Perlawanan menentang Vietnam adalah perlawanan yang kita nantikan. Kita banyak kali terkandas menentang mereka dan kita mengharapkan kali ini dengan pasukan terbaik serta momentum terbaik, kita mampu mendapat keputusan positif,” katanya.



