Harimau Malaya tewaskan Vietnam, raih tempat ketiga Piala ASEAN

LocalFootball
5 Oct 2026 • 8:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Harimau Malaya tewaskan Vietnam, raih tempat ketiga Piala ASEAN

SHAH ALAM, 5 OKT: Harimau Malaya menamatkan kempen Piala ASEAN FIFA 2026 di tempat ketiga selepas menewaskan Vietnam 1-0 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta, Indonesia sebentar tadi.

Jaringan Fergus Tierney pada minit ke-61 memastikan kemenangan Malaysia, sekali gus membantu skuad kendalian sementara Tan Cheng Hoe menutup saingan tanpa kalah dan tanpa bolos selepas empat perlawanan.

Malaysia turun tanpa beberapa tonggak termasuk Brad Tapp dan Dion Cools, manakala Arif Aiman Hanapi bermula di bangku simpanan.

Cheng Hoe mempertaruhkan Ubaidullah Shamsul, Harith Haiqal Adam Afkar dan Daniel Ting di bahagian pertahanan.

Vietnam terlebih dahulu memberi tekanan menerusi Williams Minh Hoang yang mengancam seawal minit ketiga dan kesembilan, namun Syihan Hazmi berjaya menafikan percubaan pemain itu untuk memastikan gawang Malaysia tidak dibolosi.

Harimau Malaya kemudian mula mencipta peluang menerusi Bergson da Silva, termasuk rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-35 yang ditepis penjaga gol Vietnam, Patrik Le Giang.

Bergson sekali lagi hampir menjaringkan gol tiga minit kemudian tetapi percubaannya turut dinafikan.

Vietnam pula memperoleh sepakan percuma pada minit ke-42 selepas Quentin Cheng menjatuhkan pemain lawan, namun percubaan Nguyen Hai Long mudah ditangkap Syihan sebelum kedua-dua pasukan menamatkan separuh masa pertama tanpa jaringan.

Cheng Hoe melakukan pertukaran pada awal babak kedua dengan memasukkan Syahmi Safari menggantikan Quentin sebelum membawa masuk Tierney dan Syahir Bashah bagi menggantikan Bergson serta Shio Hong Wan.

Pertukaran itu membuahkan hasil apabila Tierney meledak dari luar kotak penalti pada minit ke-61 untuk meletakkan Malaysia di hadapan 1-0, hanya dua minit selepas dimasukkan.

Vietnam hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-74 apabila pengadil Ko Hyung-jin menghadiahkan sepakan penalti selepas Le Van Do dijatuhkan dalam kotak penalti, namun keputusan itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Malaysia kemudian terus bertahan daripada tekanan Vietnam sehingga wisel penamat.

Kemenangan itu menamatkan penantian 12 tahun Malaysia untuk menewaskan Vietnam, dengan kemenangan terakhir direkodkan pada 2014 ketika Piala AFF di bawah kendalian Datuk Dollah Salleh.

Malaysia pernah menewaskan Vietnam 4-0 dalam kelayakan Piala Asia 2027 pada Jun tahun lalu, namun keputusan itu dibatalkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang memberikan kemenangan 3-0 kepada Vietnam susulan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain Harimau Malaya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved