
PETALING JAYA: Harimau Malaya perlu berwaspada dengan kebangkitan China yang dijangka tampil dengan wajah berbeza menjelang aksi persahabatan kedua-dua pasukan di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong, esok.
Jurulatih interim, Tan Cheng Hoe berkata, keputusan kurang memberangsangkan yang diraih China sebelum ini tidak boleh dijadikan ukuran sebenar kekuatan lawan kerana mereka melakukan rombakan besar-besaran menjelang pertemuan itu.
Menurutnya, perubahan yang dilakukan membabitkan kira-kira 16 pemain dengan membawa masuk beberapa pemain berpengalaman di peringkat antarabangsa selain memberikan peluang kepada muka baharu untuk memperkuatkan pasukan.
“Memang kita tahu keputusan perlawanan yang lepas mereka kalah tiga perlawanan berturut-turut dan kita tahu juga kali ini, jurulatih mereka membawa perubahan besar, ada rombakan secara besar-besaran, membawa pertukaran pemain, lebih kurang 16 pertukaran pemain itu,” katanya.
Beliau berkata, kehadiran gabungan pemain berpengalaman dan pemain baharu itu mampu memberikan dimensi berbeza kepada China, sekali gus menjadikan cabaran buat Harimau Malaya lebih sukar berbanding jangkaan.
Justeru, Cheng Hoe berharap pemain yang dipilih kali ini mampu memberikan impak positif dan mempamerkan aksi terbaik bagi memastikan skuad negara dapat memberikan saingan sengit kepada lawan.
Mengulas peluang Harimau Malaya mencipta keputusan positif, beliau mengakui kedudukan ranking China yang lebih baik berbanding Malaysia menggambarkan perbezaan kekuatan antara kedua-dua pasukan.
Bagaimanapun, bekas pengendali skuad kebangsaan itu menegaskan setiap jurulatih pastinya mengharapkan kemenangan dalam setiap perlawanan dan beliau juga mahu melihat Harimau Malaya mencipta sesuatu ketika berdepan China.
“Mana-mana jurulatih pun, mana-mana perlawanan pun, kita inginkan kemenangan juga dan kita ingin cipta sesuatu menentang China. Tetapi kita tahu kekuatan China dengan kekuatan pasukan kita juga agak berbeza,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Cheng Hoe turut memberi bayangan pemain warisan, Richard Chin bakal menjadi penyerang utama dalam skuad kali ini, namun keputusan akhir bergantung kepada penilaian prestasinya sepanjang sesi latihan.
Katanya, barisan kejurulatihan masih memerlukan masa untuk menilai kemampuan Chin, khususnya dari segi kesesuaian dengan pendekatan taktikal pasukan memandangkan pemain itu pertama kali menyertai skuad kebangsaan.
“Kami barisan jurulatih masih lagi menilai dari segi prestasi dalam latihan, dan kami akan beri peluang kepada Richard Chin untuk beraksi. Kita memang harapkan dia dapat menyesuaikan diri dengan suasana taktikal pasukan,” katanya.
Sebagai rekod, China menghuni ranking ke-96 dunia, manakala Malaysia ke-133 dan Yaman yang menjadi lawan kedua di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong pada 17 November ini berada di ranking ke-144.
Malaysia gagal mencatat kemenangan dalam lima pertemuan terakhir menentang China sejak 2004, dengan rekod tiga kekalahan dan dua seri. Pertemuan terakhir Malaysia dan China pada 2023 dalam aksi persahabatan antarabangsa berakhir dengan keputusan seri 1-1.-UTUSAN
The post Harimau Malaya perlu waspada kebangkitan China – Cheng Hoe appeared first on Utusan Malaysia.






