
PETALING JAYA – Tonggak Kuching City FC, Safawi Rasid menegaskan keputusannya meninggalkan kem latihan skuad Harimau Malaya di China bukan dilakukan sesuka hati, sebaliknya disebabkan perkara peribadi yang tidak dapat didedahkan kepada umum.
Menerusi satu hantaran di laman sosial Threads hari ini, pemain berusia 29 tahun itu tampil menjelaskan situasi sebenar bagi menepis pelbagai spekulasi liar dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air berhubung kepulangannya ke Malaysia.
Kata Safawi, sepanjang bergelar pemain bola sepak profesional, beliau tidak pernah sesekali menolak panggilan untuk menyarung jersi skuad kebangsaan dan sentiasa menganggap peluang mewakili negara sebagai satu penghormatan tertinggi.
“Saya bukan saja-saja tinggalkan kem Malaysia, ada benda yang boleh cerita, ada benda yang tak boleh cerita.
“Setakat ini saya tak pernah lagi tolak tawaran pasukan Malaysia jika dipanggil sepanjang karier saya, Alhamdulillah. Sarung baju hitam kuning adalah kebanggaan saya,” katanya dalam hantaran tersebut dengan turut meletakkan tanda pagar #familysafetyfirst.
Terdahulu, peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan perkhabaran pemain sayap lincah itu terpaksa terbang pulang ke tanah air lebih awal meskipun sudah tiba dan menjalani sesi latihan bersama skuad kebangsaan di Guangdong, China.
Pengendali sementara Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengesahkan bahawa Safawi telah memaklumkan masalah yang dihadapinya kepada barisan kejurulatihan sebelum diberikan pelepasan untuk pulang atas faktor urusan keluarga.
Pihak pengurusan pasukan memahami urusan keluarga yang dihadapi Safawi dan menghormati keputusan tersebut.
Kehilangan beliau menambah tekanan buat Harimau Malaya menjelang dua aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong menentang China dan Yaman.
Cabaran skuad negara semakin sukar ekoran ketiadaan beberapa tonggak utama JDT akibat jadual kelab yang padat serta kecederaan enam pemain Selangor FC selepas aksi separuh akhir Piala FA.
Keadaan ini memaksa barisan kejurulatihan menyusun semula strategi bahagian serangan dengan mempertaruhkan pemain sedia ada seperti Ramadhan Saifullah Usman, Richard Chin dan G. Pavithran. – KOSMO! ONLINE
The post Sebelum ini saya tidak pernah tolak skuad kebangsaan – Safawi appeared first on Kosmo Online.






