
KUALA LUMPUR – Ketiadaan sebahagian besar tonggak utama bukan alasan untuk skuad bola sepak kebangsaan mempamerkan aksi kurang bermaya ketika berdepan China pada perlawanan persahabatan Tier 1 di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre malam esok.
Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe terus membakar semangat juang anak-anak buahnya supaya memanfaatkan peluang yang ada bagi membuktikan kemampuan selain menimba pengalaman di pentas antarabangsa.
Bercakap kepada media China hari ini, pengendali berusia 58 tahun itu menegaskan, pemain-pemain yang dibawa turut memiliki cita-cita tersendiri biarpun terpaksa menggalas misi sukar tanpa kehadiran skuad terbaik.
“Memang benar kami tidak membawa skuad terbaik, tanpa kehadiran beberapa pemain utama tetapi itu bukan satu alasan. Saya kekal positif dengan peluang kami bersama pemain-pemain sedia ada.
“Ini adalah peluang untuk mereka beraksi di pentas antarabangsa. Pemain-pemain baharu pastinya ada impian untuk bermain di sini, jadi mereka akan meraih pengalaman berharga,” katanya.
Ketika ditanya sama ada akan terus menggunakan khidmat pemain dengan status naturalisasi selepas ini, Cheng Hoe menjelaskan, beliau sentiasa mengalu-alukan pemain yang sedia menyarung jersi Harimau Malaya.
“Saya tidak mahu komen mengenai isu yang sudah lepas, cuma saya teruja untuk melihat skuad baharu. Buat masa ini, kami mengalu-alukan sesiapa sahaja yang layak untuk mewakili pasukan kebangsaan.
“Selain itu, kami juga sedia untuk memanggil pemain-pemain tempatan yang mampu memberikan impak cukup besar kepada masa depan pasukan Malaysia,” ujar jurulatih kelahiran Alor Setar, Kedah itu.
Sementara itu, kapten pasukan negara, Dion Cools menjelaskan, sudah tidak sabar untuk beraksi menentang China selain mengakui kagum dengan sambutan serta fasiliti yang disediakan.
“Saya berterima kasih atas sambutan yang sangat baik, begitu juga dengan fasiliti. Kami tidak sabar untuk beraksi pada perlawanan esok dan saya yakin, ia akan menjadi satu perlawanan yang menarik,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Harimau Malaya tetap membara berdepan China appeared first on Kosmo Online.






