Harimau Malaya ‘Yong Choh’ kembali ke Tasik Kenyir

LocalEnvironment
6 Sep 2026 • 3:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Harimau Malaya ‘Yong Choh’ kembali ke Tasik Kenyir
Yong Choh sebelum ini ditangkap di Kampung Choh, Sungai Siput, Perak pada 22 Julai lalu selamat dilepaskan di Tasik Kenyir.
Image from: Harimau Malaya ‘Yong Choh’ kembali ke Tasik Kenyir
Yong Choh selamat dilepaskan di Tasik Kenyir.
Image from: Harimau Malaya ‘Yong Choh’ kembali ke Tasik Kenyir
Arthur (dua dari kiri) turut merasmikan tongkang pemindahan hidupan liar khas yang dinamakan 'Ele Max' (Elephas maximus @ Kenyir).
Image from: Harimau Malaya ‘Yong Choh’ kembali ke Tasik Kenyir
Haiwan berkenaan disahkan sihat oleh Perhilitan Semenanjung Malaysia untuk dilepaskan semula ke alam semula jadi.

​HULU TERENGGANU - Seekor Harimau Malaya betina bernama ‘Yong Choh’ yang pernah diselamatkan daripada konflik manusia dan hidupan liar melakar sejarah apabila dilepaskan semula ke habitat asal di Taman Negara Terengganu, Tasik Kenyir, di sini.

​Pelepasan haiwan liar yang dianggarkan berusia tujuh tahun itu disempurnakan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menerusi Majlis Perasmian Tongkang Pemindahan Hidupan Liar dan Pelepasan Hidupan Liar pada Sabtu.

Menurut kenyataan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam​, pelepasan secara terancang itu dilakukan selepas haiwan berkenaan selesai menjalani proses rehabilitasi di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, Perak.

**media[3638341]**

​"Yong Choh sebelum ini ditangkap di Kampung Choh, Sungai Siput, Perak pada 22 Julai lalu sebelum menjalani pemeriksaan kesihatan komprehensif merangkumi pemeriksaan veterinar, persampelan darah dan pemeriksaan penyakit.

​"Haiwan berkenaan disahkan sihat oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia untuk dilepaskan semula ke alam semula jadi," kata kenyataan tersebut pada Ahad.

**media[3638337]**

​Selain itu, sebelum ini, seekor gajah yang pernah terlibat dengan konflik turut dilepaskan ke situ sebagai langkah memperkukuh usaha pemuliharaan Harimau Malaya dan Gajah Asia.

​"Usaha ini bukan sahaja berupaya meningkatkan populasi dan menambah kepelbagaian genetik hidupan liar di habitat asal, malah berperanan penting dalam mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar.

​"Sebelum ini, Perhilitan turut melepaskan pelbagai jenis hidupan liar lain seperti Harimau Kumbang, Rusa Sambar, kijang, tenggiling, Musang Pandan, pelanduk dan napuh," jelas kenyataan itu lagi.

**media[3638340]**

​Pada program sama, Arthur turut merasmikan tongkang pemindahan hidupan liar khas yang dinamakan 'Ele Max' (Elephas maximus @ Kenyir).

​Nama tongkang berkenaan diambil sempena nama saintifik Gajah Asia iaitu Elephas maximus, yang digunakan khusus bagi memudahkan proses pemindahan dan pelepasan hidupan liar bersaiz besar ke habitat asal.

​Hadir sama pada program itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli), Datuk Khalid Mohamed dan Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved