
LIPIS: Hasil sektor perhutanan Pahang mencecah kira-kira RM80 juta setakat bulan ini sekali gus meletakkan kerajaan negeri optimis sasaran kutipan RM150 juta mampu dicapai menjelang akhir tahun.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian semasa itu menunjukkan prestasi positif Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dalam mengurus sektor berkenaan secara terancang serta mampan.
Beliau berkata, hasil perhutanan negeri pada 2025 pula hampir mencecah RM150 juta, sekali gus mencatatkan rekod tertinggi sepanjang tempoh beliau menerajui kerajaan negeri.
Katanya, sebelum ini hasil perhutanan Pahang berada di bawah RM100 juta, namun jumlah berkenaan meningkat melebihi angka itu pada tahun lalu hasil pengurusan sektor tersebut yang lebih baik.
“Itu juga adalah rekod sepanjang saya menjadi ketua kerajaan negeri,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Pahang 2026 di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, hari ini.
Wan Rosdy berkata, hasil yang diperoleh daripada sektor perhutanan dikembalikan kepada rakyat menerusi pelbagai bentuk bantuan dan pembangunan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Beliau berkata, persepsi bahawa aktiviti pengurusan hutan hanya memberi kesan negatif kepada alam sekitar perlu diperbetul kerana ia dilaksanakan berdasarkan perancangan serta kawalan ketat.
“Apabila sampai masanya, pokok-pokok tersebut perlu ditebang. Apabila usianya mencapai tahap tertentu, kalau tidak ia akan reput begitu sahaja atau tumbang begitu sahaja dan yang ruginya ialah kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, Pahang bersyukur kerana masih mengekalkan 57.07 peratus kawasan hutan simpan daripada keseluruhan kira-kira 3.6 juta hektar keluasan negeri.
Katanya, kawasan hutan simpan itu bukan sahaja penting kepada rakyat Pahang, malah turut berperanan sebagai kawasan tadahan air yang memberi manfaat kepada negeri-negeri berhampiran.
Beliau berkata, kerajaan negeri tetap mempertahan kawasan hutan simpan walaupun menyedari terdapat kos melepas dari sudut hasil ekonomi yang boleh diperoleh sekiranya kawasan berkenaan dibangunkan.
“Kita tidak membuat keputusan berdasarkan emosi. Kita melihat apa yang baik dan apa yang buruk untuk rakyat serta masa depan negeri,” katanya. – UTUSAN
The post Hasil hutan Pahang cecah RM80 juta appeared first on Utusan Malaysia.






