
KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang mengarahkan semua agensi berkaitan bagi menyelesaikan isu pengurusan pokok-pokok tua dan berisiko tumbang susulan tragedi yang meragut empat nyawa di Janda Baik, Bentong, Isnin lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau telah meminta dua Exco kerajaan negeri berkaitan memanggil pihak-pihak terlibat termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) bagi mencari penyelesaian segera.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mahu terus menuding jari mengenai bidang kuasa, sebaliknya mahu tindakan segera diambil bagi mengelak tragedi seumpama itu berulang.
“Perkara telah pun berlaku, jadi tindakan kita adalah menyelesaikan masalah ini dengan segera. Saya mahu semua pihak duduk semeja dan membuat keputusan secepat mungkin.
“Kerajaan negeri tidak berdiam diri, kami mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya selepas Program Aspirasi Pahang First di Jeti Kampung Belukar, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira 12:30 tengah hari Isnin lalu itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Allahyarham Mohd. Radzi Rahimi, 40, bersama isterinya, Nuriani Mohammad Jafri, 36, anak mereka, Muhammad Rizz Hazim, 5, serta adik iparnya, Mohammad Nizam Mohammad Jafri, 35, maut apabila kenderaan yang dinaiki dihempap sebatang pokok tumbang.
Mengenai kebajikan keluarga mangsa, Wan Rosdy berkata, UMNO menguruskan sepenuhnya urusan pengebumian dan bantuan awal kepada keluarga sebelum kerajaan negeri meneliti bentuk bantuan susulan yang bersesuaian.
Sementara itu, beliau mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM30,000 bagi menaik taraf Jeti Nelayan Kampung Belukar selepas meninjau keadaan kemudahan itu.-UTUSAN.
The post Selesai segera isu pokok tua, berisiko appeared first on Utusan Malaysia.






