Hasil Johor cecah paras tertinggi RM2.67 bilion, Onn Hafiz sifatkan pencapaian bersejarah

LocalBusiness & Finance
2 Jan 2026 • 10:05 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hasil Johor cecah paras tertinggi RM2.67 bilion, Onn Hafiz sifatkan pencapaian bersejarah image is not available johardy02/01/2026 - 10:05 Oleh Mohamad Iman editor@dagangnews.com

JOHOR BAHRU 2 Jan - Johor mencatatkan pencapaian fiskal bersejarah apabila hasil negeri melonjak ke paras tertinggi sebanyak RM2.67 bilion bagi tahun kewangan 2025, kata Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

 

Beliau berkata, hasil rekod itu akan disalurkan semula kepada rakyat Johor menerusi pelaksanaan projek pembangunan, penambahbaikan kemudahan awam serta inisiatif kebajikan yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.

 

Menurut Onn Hafiz, pencapaian berkenaan mencerminkan keberkesanan pendekatan tadbir urus negeri yang menekankan kestabilan, ketelusan dan disiplin fiskal, sekali gus memperkukuh keyakinan pelabur serta daya saing ekonomi Johor.

 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, atas sokongan, panduan dan nasihat berterusan yang menjadi asas kepada keutamaan tadbir urus baik dan kestabilan demi kesejahteraan Bangsa Johor.

 

“Malah, penghargaan tertinggi juga ditujukan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Asman Shah Abd Rahman, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, semua Ahli Dewan Undangan Negeri, perkhidmatan awam, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta seluruh rakyat Johor yang menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

 

 

image is not available
Onn Hafiz mendengar penerangan mengenai enjin jet dalam lawatan di Jiangsu Longda Superalloy Co. Ltd. sebuah syarikat berteknologi tinggi yang berperanan penting dalam rantaian bekalan global industri aeroangkasa, tenaga dan kejuruteraan berat du di Shanghai China pada 1 Januari 2026.

 


Onn Hafiz berkata, pencapaian itu diharap dapat melonjakkan Johor ke tahap pembangunan yang lebih tersusun dan kompetitif, selari dengan aspirasi jangka panjang negeri untuk memastikan kemakmuran dan kesejahteraan yang inklusif.

 

Namun, beliau menegaskan, kerajaan negeri kekal komited untuk terus menambah baik pengurusan hasil dan memastikan pengagihan kekayaan dilakukan secara adil serta memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat Johor.

 

“Masih banyak ruang untuk penambahbaikan, dan kerajaan negeri akan terus memastikan setiap sen hasil digunakan secara berhemah demi kepentingan rakyat,” katanya. - DagangNews.com

Terkini featured standard