Hasil Manulife meningkat kepada RM238.4 juta tetapi keuntungan susut akibat kerugian bon

LocalBusiness & Finance
19 Nov 2026 • 5:08 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hasil Manulife meningkat kepada RM238.4 juta tetapi keuntungan susut akibat kerugian bon Image from: Hasil Manulife meningkat kepada RM238.4 juta tetapi keuntungan susut akibat kerugian bon sarah19/11/2026 - 17:08 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Nov - Manulife Holdings Berhad mencatatkan peningkatan hasil operasi kepada RM238.4 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, namun keuntungan sebelum cukainya hampir separuh kepada RM21.1 juta, terjejas terutamanya oleh kerugian penilaian bon dalam perniagaan pegangan pelaburan.

 

Menurut laporan kewangan yang difailkan kepada Bursa Malaysia, hasil operasi kumpulan meningkat 6.3% berbanding RM224.3 juta dalam tempoh sama tahun lalu, manakala keuntungan sebelum cukai merosot 48.6% daripada RM41 juta.

 

Keuntungan bersih Manulife turut menyusut kepada RM13.2 juta berbanding RM20.8 juta setahun lalu, meskipun hasil perniagaan insurans hayat dan pengurusan aset terus berkembang.

 

Kerugian bon jejaskan keuntungan

Manulife menjelaskan bahawa segmen pegangan pelaburannya mencatatkan kerugian sebelum cukai RM9 juta berbanding keuntungan RM4.8 juta pada suku ketiga 2025, terutamanya disebabkan kerugian perubahan nilai pasaran bon yang dipegang kumpulan.

 

Bagi perniagaan insurans hayat, hasil operasi meningkat kepada RM181.6 juta daripada RM173.9 juta, disokong pertumbuhan perniagaan baharu dan polisi insurans sedia ada, namun keuntungan sebelum cukai susut kepada RM21.3 juta daripada RM26.3 juta berikutan prestasi pelaburan yang lebih lemah serta pengalaman tuntutan insurans yang kurang menggalakkan.

 

Segmen pengurusan aset pula merekodkan hasil RM49.9 juta berbanding RM43.6 juta, didorong peningkatan fi perkhidmatan awal dan pendapatan fi daripada aset yang diuruskan, tetapi keuntungan sebelum cukainya turun kepada RM8.7 juta daripada RM9.9 juta akibat perbelanjaan yang lebih tinggi.

 

Inflasi perubatan terus beri tekanan

Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, hasil operasi Manulife meningkat 9.7% kepada RM695.4 juta daripada RM633.7 juta, manakala keuntungan sebelum cukai susut 11.2% kepada RM95.5 juta daripada RM107.5 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Keuntungan bersih bagi tempoh sembilan bulan turut berkurang kepada RM66.8 juta berbanding RM72.9 juta, walaupun perniagaan insurans hayat dan pengurusan aset masing-masing mencatatkan pertumbuhan hasil operasi sebanyak RM37.5 juta dan RM25.1 juta.

 

Mengenai prospek industri, Manulife berkata, inflasi perubatan yang masih tinggi terus memberi tekanan kepada kos penjagaan kesihatan dan tuntutan insurans, ketika industri membuat persediaan melaksanakan strategi RESET di seluruh negara pada awal 2027 bagi meningkatkan kemampuan rakyat mendapatkan perlindungan insurans dan takaful perubatan.

 

Kumpulan itu akan terus memperkukuh saluran pengedaran insurans, meningkatkan perkhidmatan pelanggan dan mempercepatkan penggunaan teknologi digital, selain memberi tumpuan kepada pengurusan produk serta penggunaan modal yang berhemat bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved