Inflasi Malaysia meningkat kepada 1.9% pada Oktober 2026 didorong kos pengangkutan

LocalBusiness & Finance
19 Nov 2026 • 6:21 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Inflasi Malaysia meningkat kepada 1.9% pada Oktober 2026 didorong kos pengangkutan Image from: Inflasi Malaysia meningkat kepada 1.9% pada Oktober 2026 didorong kos pengangkutan sarah19/11/2026 - 18:21 Gambar hiasan Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Nov - Kadar inflasi Malaysia meningkat kepada 1.9% pada Oktober 2026 berbanding 1.8% pada September, didorong kenaikan kos pengangkutan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

DOSM berkata, Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat kepada 137.7 mata berbanding 135.1 mata pada Oktober 2025, dengan kumpulan pengangkutan mencatatkan kenaikan harga sebanyak 4.2% berbanding 2.5% pada bulan sebelumnya.

 

Menurut jabatan itu, inflasi kumpulan minuman beralkohol dan tembakau meningkat kepada 2.9% daripada 2.8%, manakala kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain meningkat kepada 1.9% berbanding 1.4% pada September.

 

Kumpulan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah pula mencatatkan kenaikan inflasi kepada 0.5% daripada 0.3%, sementara kumpulan pakaian dan kasut meningkat kepada 0.3% berbanding 0.2% sebelumnya.

 

Inflasi makanan dan restoran menyederhana

Sementara itu, inflasi kumpulan restoran dan perkhidmatan penginapan menyederhana kepada 2.1% berbanding 2.2% pada September, manakala kumpulan pendidikan mencatatkan kadar 1.8% berbanding 2.1% sebelumnya.

 

Kumpulan makanan dan minuman turut mencatatkan kadar inflasi lebih rendah pada 1.7% berbanding 1.8% pada bulan sebelumnya, sementara kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial serta pelbagai barangan dan perkhidmatan menyederhana kepada 1.2% daripada 2.8%.

 

Inflasi bagi kumpulan maklumat dan komunikasi kekal pada 1.8%, manakala kumpulan kesihatan tidak berubah pada 1.4%. Kumpulan rekreasi, sukan dan kebudayaan serta insurans dan perkhidmatan kewangan masing-masing mencatatkan kadar inflasi 1.2%.

 

Negeri Sembilan catat inflasi tertinggi

Dari segi negeri, tujuh negeri dan wilayah persekutuan mencatatkan kadar inflasi melebihi paras nasional 1.9%, diterajui Negeri Sembilan pada 2.6%, diikuti Kedah (2.5%), Johor dan Putrajaya (masing-masing 2.3%), Pahang dan Labuan (masing-masing 2.2%) serta Selangor (2.1%).

 

DOSM berkata, semua negeri mencatatkan peningkatan inflasi makanan dan minuman kecuali Kelantan yang merekodkan penurunan pada Oktober 2026.

 

Bagi perbandingan bulanan, inflasi keseluruhan meningkat 0.1%, sama seperti September. Kumpulan pengangkutan meningkat 0.7% berbanding 0.6% pada bulan sebelumnya, manakala lima kumpulan termasuk pakaian dan kasut, perumahan serta pendidikan tidak mencatatkan perubahan harga berbanding September.

 

Sementara itu, kumpulan kesihatan mencatatkan peningkatan inflasi bulanan sebanyak 0.2%, diikuti rekreasi, sukan dan kebudayaan (0.1%). Kumpulan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah pula meningkat 0.2% berbanding penurunan 0.1% pada September, manakala minuman beralkohol dan tembakau meningkat 0.1% selepas tidak mencatatkan perubahan pada bulan sebelumnya.

 

Sebaliknya, kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial serta pelbagai barangan dan perkhidmatan mencatatkan penurunan harga bulanan sebanyak 0.1% berbanding kenaikan 0.4% pada September, menunjukkan pergerakan harga yang berbeza antara kumpulan perbelanjaan pengguna walaupun inflasi keseluruhan meningkat sedikit.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved