liza19/11/2026 - 17:50 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Nov – YTL Corporation Berhad mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 34.1% kepada RM10.25 bilion bagi suku pertama berakhir 30 September 2026 (1QFY27) berbanding RM7.64 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, pertumbuhan hasil yang lebih tinggi itu tidak diterjemahkan kepada peningkatan keuntungan pada kadar sama apabila keuntungan selepas cukai (PAT) kumpulan hanya meningkat 5.4% kepada RM700.11 juta berbanding RM664.28 juta sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 5.4% kepada RM1.03 bilion daripada RM975.78 juta, manakala keuntungan operasi bertambah 10.6% kepada RM1.57 bilion berbanding RM1.42 bilion.
“Peningkatan hasil kumpulan didorong terutamanya oleh pertumbuhan segmen utiliti, simen dan bahan binaan, selain sumbangan lebih tinggi daripada perkhidmatan pengurusan dan lain-lain serta operasi hotel,” katanya.
Kos jualan dan pembiayaan meningkat
Bagaimanapun, kos jualan kumpulan meningkat 44.5% kepada RM8.01 bilion berbanding RM5.54 bilion dalam suku sama tahun sebelumnya, sekali gus mengehadkan pertumbuhan keuntungan.
Pada masa sama, perbelanjaan operasi lain meningkat kepada RM890.40 juta daripada RM807.40 juta, manakala kos kewangan bertambah 14.4% kepada RM668.81 juta berbanding RM584.83 juta sebelumnya.
Keadaan itu menyebabkan pertumbuhan keuntungan lebih perlahan berbanding peningkatan hasil, walaupun keuntungan kasar meningkat kepada RM2.24 bilion daripada RM2.10 bilion.
Pusat data catat peningkatan keuntungan yang ketara
Mengikut segmen perniagaan, utiliti kekal sebagai penyumbang hasil terbesar kumpulan dengan pendapatan meningkat 41.5% kepada RM7.12 bilion berbanding RM5.03 bilion sebelumnya.
Sebaliknya, perniagaan pusat data mencatatkan perkembangan ketara apabila hasil meningkat kepada RM329.4 juta berbanding RM55.7 juta, manakala keuntungan segmen melonjak kepada RM139.5 juta daripada RM1 juta sebelumnya.
Peningkatan itu didorong oleh peningkatan operasi dewan pusat data secara berperingkat, termasuk penyempurnaan dan peningkatan kadar pengisian ruang pusat data tambahan serta jualan elektrik.
Sementara itu, segmen pembinaan mencatatkan peningkatan keuntungan sebanyak 273% kepada RM70.32 juta berbanding RM18.86 juta, disokong kemajuan projek sedia ada, margin projek lebih baik dan peningkatan aktiviti pembinaan.
Segmen simen dan industri bahan binaan turut merekodkan peningkatan keuntungan 13% kepada RM422.38 juta berbanding RM372.57 juta, didorong sumbangan lebih tinggi daripada perniagaan konkrit siap bancuh, agregat dan produk campuran kering serta pengurusan kos dan kecekapan operasi.
Perluaskan kapasiti pusat data kepada 1,200MW
Bagi prospek, YTL Corporation merancang meningkatkan kapasiti taman pusat data hijau di Kulai kepada 1,200 megawatt (MW) berbanding kapasiti asal 600MW, dengan 298MW daripadanya sudah mendapat kontrak.
Kumpulan itu setakat ini telah melabur RM13.5 bilion dalam perniagaan pusat datanya dan turut merancang memperluaskan operasi ke lokasi lain di luar Taman Pusat Data Kulai.
YTL Corporation juga sedang membangunkan kemudahan penjanaan tenaga solar berkapasiti sehingga 500MW di kawasan Kulai Young Estate bagi membekalkan tenaga kepada taman pusat data berkenaan, dengan fasa pertama melibatkan kemudahan solar 215MWac telah dilaksanakan.
Bagi perniagaan lain, kumpulan menjangkakan permintaan domestik terhadap simen dalam jangka sederhana dan panjang kekal memuaskan, disokong projek infrastruktur, pembangunan perindustrian dan pelaburan pusat data.
Bagaimanapun, kumpulan kekal berhati-hati terhadap ketidaktentuan geopolitik dan perubahan dasar perdagangan yang boleh memberi kesan kepada harga tenaga, kos pengangkutan serta perbelanjaan pengeluaran. - DagangNews.com






