Hasil Perdana Petroleum susut 33% kepada RM83.2 juta pada 2QFY25

20/08/2025 - 18:31
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 20 Ogos - Hasil Perdana Petroleum Berhad pada 2QFY25 susut 33% kepada RM83.2 juta berbanding RM124.6 juta pada suku sama tahun sebelumnya disebabkan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China selain ketidaktentuan tukaran mata wang asing di pasaran.
Kumpulan itu berkata, untung bersihnya juga susut kepada RM34.5 juta berbanding RM34.7 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Pengarah Urusan Perdana Petroleum, Jamalludin Obeng berkata, 2QFY25 menandakan titik perubahan kumpulan dengan peningkatan penggunaan kapal apabila lebih banyak kapal kami kembali beroperasi secara aktif.
Beliau berkata, momentum itu terhasil daripada kejayaan penyiapan kerja-kerja persediaan dan mobilisasi bagi penyewaan jangka panjang yang akan datang, mencerminkan fokusnya terhadap kesiapsiagaan kapal dan kecekapan operasi selepas permulaan tahun yang perlahan.
“Pasaran minyak global kekal stabil tetapi mencabar, dipengaruhi peningkatan bekalan, pertumbuhan permintaan yang sederhana serta ketegangan geopolitik yang berterusan.
"Harga minyak mentah Brent dijangka kekal sekitar AS$68 setong, manakala risiko daripada ketidaktentuan di Asia Barat, ketegangan perdagangan antara AS–China dan ketidaktentuan mata wang terus memberi tekanan kepada pasaran.
"Di peringkat domestik, sektor luar pesisir Malaysia terus mencatat aktiviti penyelenggaraan, sokongan pelantar dan pembangunan gas yang stabil," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pasaran OSV kekal mencabar disebabkan kekurangan kapal baharu dan bekalan yang terhad.
“Walaupun persekitaran operasi secara keseluruhannya kekal kompleks, kekurangan bekalan OSV dan permintaan yang konsisten untuk sokongan penyelenggaraan dan pengeluaran membuka peluang untuk kedudukan strategik.
"Kami komited terhadap disiplin operasi, pengoptimuman kos dan peningkatan kecekapan kapal bagi mengekalkan daya tahan, memastikan kemampanan jangka panjang serta mencipta nilai jangka panjang untuk para pemegang kepentingan kami," katanya.- DagangNews.com
standard
