Untung bersih Perak Transit naik 12.4% kepada RM19.9 juta pada 2QFY25

20/08/2025 - 18:01
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 20 Ogos - Untung bersih Perak Transit Berhad pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) meningkat 12.4% kepada RM19.9 juta berbanding RM17.7 juta bagi suku sama pada tahun sebelumnya dipacu sumbangan lebih tinggi daripada operasi terminal pengangkutan awam bersepadu (IPTT), khususnya permulaan operasi di Bidor Sentral.
Kumpulan itu berkata, peningkatan itu juga disumbangkan peningkatan pendapatn sewaan dan perkongsian hasil daripada penyewa.
Hasil kumpulan bagi suku berkenaan juga naik kepada RM49.1 juta berbanding RM47.3 juta pada 2QFY24.
Pengarah Eksekutifnya, Datuk Cheong Peak Sooi berkata, sejak pembukaannya September 2024, Bidor Sentral telah menunjukkan perkembangan positif sebagai hentian utama di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan yang menghubungkan daerah selatan dan tengah Perak.
"Disokong oleh TF Value-Mart dan dilengkapi dengan penyewa seperti kedai pakaian, pengusaha fasiliti boling, badminton dan pickleball, serta premis makanan dan minuman (F&B), kami yakin terminal itu akan mengekalkan jumlah pengunjung yang sihat dan menyumbang secara positif kepada pendapatan," katanya dalam satu kenyataan.
Strategi pertumbuhan kumpulan yang berasaskan model aset ringan terus maju dengan permulaan operasi dan pengurusan Terminal Perlis Sentral di bawah kontrak perkhidmatan selama 15 tahun bersama Majlis Perbandaran Kangar.
Terminal setingkat ini meliputi kawasan seluas kira-kira 2.15 hektar, dengan keluasan boleh disewa bersih sekitar 2,729 kaki persegi untuk kedai dan kiosk, dan kini menempatkan 27 pengendali bas ekspres.
Sistem Pengurusan Terminal Perak Transit telah dilaksanakan bagi mendigitalkan dan memperkemas proses tiket penumpang, naik turun bas, dan operasi terminal, sekali gus meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan pengalaman pelanggan.
Di Kampar Putra Sentral, pelbagai jenis penyewa telah berjaya diperoleh, termasuk premis makanan dan minuman, fasiliti hiburan keluarga, pawagam, dewan majlis, lorong boling, dan gelanggang badminton.- DagangNews.com
standard
