Prospek 99 Speedmart cerah disokong strategi konsisten serta pembukaan cawangan baharu, kata HLIB

LocalBusiness & Finance
20 Aug 2025 • 4:03 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prospek 99 Speedmart cerah disokong strategi konsisten serta pembukaan cawangan baharu, kata HLIB

image is not available

20/08/2025 - 16:03

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Ogos - 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad dijangka terus mengekalkan momentum pertumbuhan pada separuh kedua tahun 2025 (2HFY25) disokong pelaksanaan strategi yang konsisten termasuk pembukaan cawangan baharu.

Hong Leong Investment bank (HLIB) berkata, kumpulan itu ini mencatatkan pendapatan RM2.7 bilion pada suku kedua 2025 (2QFY25), meningkat 12% manakala untung bersih melonjak 22% kepada RM152.9 juta.

Katanya, ini menjadikan jumlah keuntungan teras bagi separuh pertama tahun ini kepada RM295.6 juta — peningkatan 15% berbanding tempoh yang sama tahun lalu — sejajar dengan unjuran pasaran.

"Kami kekal optimis terhadap prospek didorong pengembangan agresif rangkaian cawangannya dan pertumbuhan kukuh dalam hasil serta keuntungan.

"Syarikat ini telah menambah 248 cawangan baharu secara bersih dalam tempoh setahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 2,894 cawangan.

"Sasaran mereka untuk membuka sekurang-kurangnya 250 cawangan baharu pada 2025 bagi meraslisasikan impian pembukaan 3,000 cawangan bagi mengukukuhkan kedudukan syarikat," katanya dalam satu nota kajian.

Firma penyelidikan itu berkata, antara inisiatif yang membantu meningkatkan daya tarikan 99 Speedmart termasuk waktu operasi lebih awal (bermula seawal jam 9 pagi) dan kempen nilai “4 barangan RM10” yang dilaksanakan di Zon Nilai Harian di seluruh negara.

Katanya, langkah itu dilihat menyokong kedudukannya sebagai jenama pilihan dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

Dari sudut makro, perbelanjaan swasta dijangka kekal kukuh, disokong oleh peningkatan pendapatan boleh guna hasil pelarasan gaji dan bantuan fiskal seperti program kredit SARA RM100 yang kini merangkumi segmen lebih luas melebihi kumpulan B40.

"Pelaksanaan strategi yang konsisten serta keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan keperluan pengguna menjadikan 99 Speedmart kekal berdaya saing dalam landskap peruncitan semasa.

"Kami percaya syarikat ini berada dalam kedudukan kukuh untuk terus meraih bahagian pasaran dan menjana hasil yang stabil dan berulang," katanya.

HLIB mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran RM2.98 sesaham. - DagangNews.com

standard