amree15/10/2026 - 14:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 Okt – Kemerosotan mendadak segmen bebas cukai susulan penutupan cawangan di Langkawi, Kedah dan Johor Bahru, Johor menjadi punca utama hasil Atlan Holdings Berhad merosot 24.5% kepada RM85.22 juta bagi suku kedua berakhir 31 Ogos 2026 (2QFY27)
Segmen bebas cukai kumpulan mencatatkan kejatuhan pendapatan sebanyak 62.5% kepada RM15.87 juta daripada RM42.30 juta, selain beralih kepada kerugian sebelum cukai (LBT) RM2.49 juta berbanding keuntungan sebelum cukai (PBT) RM5.27 juta pada suku sama tahun lalu.
Menurut makluman kumpulan kepada Bursa Malaysia, susulan prestasi lemah itu, syarikat tersebut merekodkan kerugian bersih yang dapat diagihkan kepada pemegang saham induk sebanyak RM601,000 berbanding sebelumnya meraih keuntungan bersih sebanyak RM4.07 juta.
"Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2027 (1HFY27), hasil Atlan susut 25.4% kepada RM158.27 juta daripada RM212.23 juta, manakala kumpulan mencatatkan kerugian bersih RM489,000 berbanding keuntungan RM7.13 juta dalam tempoh sama FY26," katanya.
Segmen automotif ujarnya, turut terjejas apabila pendapatan merosot kira-kira 2.6% kepada RM54.98 juta berbanding RM56.46 juta, susulan tempahan pelanggan yang lebih rendah. PBT segmen berkenaan juga menyusut kepada RM4.98 juta daripada sebanyak RM5.20 juta.
Sementara itu, hasil segmen hartanah dan perhotelan kekal hampir tidak berubah pada RM13.18 juta berbanding RM13.20 juta, namun PBT merosot 98.1% kepada RM58,000 daripada RM3.09 juta, berikutan peningkatan perbelanjaan penyelenggaraan hartanah di Malaysia.

Di sebalik prestasi kewangan yang merosot, Lembaga Pengarah Atlan mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 5 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2027, melibatkan pembayaran RM12.68 juta, yang akan dilaksanakan bermula 25 November 2026.
"Sementara itu, jumlah dividen yang diisytiharkan bagi FY27 setakat ini sudah mencecah sebanyak 10 sen sesaham, iaitu bersamaan dengan sebanyak RM25.36 juta kepada pemegang saham," jelas kumpulan berkenaan.
Dalam perkembangan korporat lain, anak syarikatnya, Kelana Megah Sdn Bhd, sedang melengkapkan syarat-syarat perjanjian usaha sama (JV) pembangunan hartanah yang bernilai RM478.42 juta di Johor Bahru bersama-sama Chin Hin Property (Stulang) Sdn Bhd.
Projek itu ujar Atlan, merangkumi sejumlah 1,260 unit pangsapuri perkhidmatan dan sebanyak 10 lot kedai, dengan bahagian kelayakan Kelana Megah bernilai RM83.57 juta. Tempoh bersyarat perjanjian dilanjutkan sehingga 9 Disember 2026.
Selain itu, subsidiarinya, Cergasjaya Sdn Bhd dan Cergasjaya Properties Sdn Bhd, sedang mencabar jumlah pampasan pengambilan tanah di Bukit Kayu Hitam, Kedah bagi projek jalan raya ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand.
"Kumpulan ini sudah menerima pampasan sebanyak RM69.596 juta, namun memohon dilaksanakan proses penilaian semula ke atas nilai tanah berkenaan, dengan tarikh pendengaran kes tersebut di mahkamah dijadualkan pada 26 November 2026," tambahnya.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai prospek masa depan, Atlan menjangka persekitaran perniagaan kekal mencabar sepanjang baki FY27 berikutan tekanan inflasi global dan peningkatan kos operasi semasa.
Kumpulan akan memperketat kawalan kos serta meneroka kerjasama strategik dengan pengeluar kenderaan elektrik (EV) dan hibrid bagi memperkukuh segmen automotif serta merebut peluang dalam rantaian nilai. - DagangNews.com




