amree21/09/2026 - 12:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Sept — Kenaikan kos operasi menjadi antara faktor utama yang menekan margin keuntungan Binastra Corporation Berhad bagi separuh pertama tahun kewangan 2027 (1HFY27), meskipun kumpulan terus mencatat pertumbuhan hasil dan keuntungan, menurut penganalisis.
Mereka berpandangan, tekanan itu semakin ketara dengan perbelanjaan operasi meningkat lebih 200% tahun ke tahun (YoY), selain pertambahan susut nilai dan kos kewangan, menyebabkan margin kasar mengecil kepada 10% daripada 12% manakala margin bersih susut kepada 7%.
Antaranya Mercury Securities menilai penyusutan margin turut dipengaruhi peningkatan sumbangan projek solar dan pusat data dengan margin rendah, namun gabungan kos operasi yang tinggi serta perubahan campuran projek menyebabkan pertumbuhan keuntungan tidak berkembang.
"Keputusan kewangan 6MFY27 Binastra kekal dalam jangkaan, dengan hasil tempoh itu mewakili 65% daripada unjuran hasil FY27, tetapi margin keuntungan kasar susut kepada 10.5% daripada 11.3%, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) naik 73% kepada RM122 juta," katanya.
Secara suku tahunan (QoQ), ia melihat tanda pemulihan apabila hasil 2QFY27 meningkat 9% QoQ kepada RM658 juta, manakala keuntungan bersih meningkat 44% kepada RM51 juta. Margin keuntungan kasar dan hasil kasar masing-masing meningkat kepada 12% daripada 9% pada suku sebelumnya.
Mercury Securities berkata, keterlihatan hasil kumpulan itu kekal kukuh berikutan buku tempahan sekitar RM6.7 bilion yang menyediakan liputan hasil untuk tiga hingga empat tahun akan datang.

Binastra turut memperoleh kontrak RM500 juta bagi projek DC pada suku berkenaan, menjadikan jumlah projek yang dimenangi kepada tujuh dengan nilai keseluruhan RM2.4 bilion.
Sementara itu, TA Research berkata, Binastra berada pada landasan untuk mencapai sasaran kontrak baharu RM2.5 bilion bagi FY27, selepas memperoleh RM1.3 bilion kontrak baharu setakat ini.
"Kami melihat peluang projek daripada pelanggan berulang EXSIM dan MAXIM bernilai kira-kira RM1 bilion, selain potensi daripada pelanggan baharu iaitu CPI Land dan HCK Capital dengan nilai sekitar RM1 bilion," katanya.
TA Research menambah, Binastra kini mempunyai tujuh projek DC bernilai RM2.4 bilion dan pengurusan menyasarkan tiga lagi kontrak dalam segmen itu bagi FY27. Pada masa sama, kumpulan berhasrat mengubah komposisi buku tempahan daripada kira-kira 70% projek kediaman ketika ini kepada campuran 50% kediaman dan 50% bukan kediaman dalam usaha mempelbagaikan sumber pendapatan.
Margin Binastra turut sederhana susulan peningkatan 215.2% dalam perbelanjaan pentadbiran dan 74.4% dalam kos kewangan. Namun, tekanan itu diimbangi peningkatan margin di semua peringkat operasi pada suku kedua, yang membantu keuntungan bersih teras berkembang 44% secara suku ke suku (QoQ).
Bagi 1HFY27, hasil Binastra melonjak 93.4% YoY kepada sekitar RM1.3 bilion, manakala keuntungan bersih teras meningkat 60.3% kepada RM85.7 juta.
"Pertumbuhan itu didorong kemajuan pembinaan yang lebih pantas serta bil kemajuan lebih kukuh daripada projek sedia ada, selain sumbangan baharu daripada LF Lansen Sdn Bhd dan perkhidmatan pemasangan solar," jelasnya.
Kedua-dua firma mengekalkan unjuran pendapatan masing-masing tanpa perubahan selepas keputusan 1HFY27. Mercury Securities mengekalkan Harga sasaran (TP) RM3.12 manakala TA Research mengekalkan TP RM3.17, dengan kedua-duanya turut mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham Binastra. - DagangNews.com






