Belanjawan 2027: Cukai PMKS turun kepada 14%, geran RM200 juta disediakan bantu 40,000 usahawan

LocalBusiness & Finance
9 Oct 2026 • 4:44 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Belanjawan 2027: Cukai PMKS turun kepada 14%, geran RM200 juta disediakan bantu 40,000 usahawan Image from: Belanjawan 2027: Cukai PMKS turun kepada 14%, geran RM200 juta disediakan bantu 40,000 usahawan amree09/10/2026 - 16:44 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Okt — Kerajaan bersetuju menurunkan kadar cukai pendapatan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebanyak satu mata peratusan bagi mengurangkan tekanan kos operasi serta membantu memperkukuh daya tahan perniagaan tempatan.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menerusi langkah itu, kadar pendapatan bercukai RM150,000 pertama akan dikurangkan kepada 14% daripada kadar sebelumnya, manakala kadar banjaran pendapatan bercukai RM150,000 hingga RM600,000 diturunkan kepada 16%.

 

Beliau yang juga Menteri Kewangan mengumumkan perkara tersebut ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.

 

"Langkah berkenaan dijangka memberi manfaat kepada sejumlah 300,000 PMKS dengan penjimatan cukai sehingga mencecah RM6,000," katanya.

 

Anwar berkata, PMKS memainkan peranan penting dalam ekonomi negara, menyumbang kira-kira 40% kepada ekonomi serta menyediakan pekerjaan kepada sekitar lapan juta orang, bersamaan separuh daripada tenaga kerja negara.

 

Selain pengurangan cukai, kerajaan turut mencadangkan kenaikan had nilai setiap aset kecil yang layak mendapat elaun modal kepada RM3,000. Bagi syarikat selain PMKS, had keseluruhan tuntutan dinaikkan kepada RM30,000.

 

Pengilang juga dibenarkan menuntut semula cukai jualan bagi pembelian mesin, alat ganti dan peralatan daripada pedagang atau pengedar tempatan, termasuk bahan mentah untuk menghasilkan produk farmaseutikal, makanan ternakan, baja dan racun perosak.

 

Bagi menggalakkan pelaburan serta meningkatkan produktiviti, Elaun Modal Dipercepatkan untuk perbelanjaan loji dan jentera tempatan serta peralatan dan perisian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dilanjutkan sehingga 31 Disember 2030.

 

PKS_DagangNews2026

 

Dalam usaha memperbaiki aliran tunai perniagaan, perjanjian berkaitan penggunaan lebihan kredit yang disempurnakan dari 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030 dicadangkan dikenakan duti setem RM10. 

 

Kadar sama turut dicadangkan bagi perjanjian pinjaman melalui platform pembiayaan antara rakan setara (P2P) dalam tempoh berkenaan.

 

Kerajaan turut mencadangkan pengecualian penuh duti setem bagi pembukaan akaun simpanan dan akaun semasa mulai 1 Januari 2027.

 

Bagi membantu usahawan kecil mendapatkan peralatan dan kemahiran, kerajaan menyediakan RM200 juta menerusi Geran Sejahtera MADANI untuk 40,000 penerima, khususnya wanita.

 

Pembiayaan mikro juga ditingkatkan kepada RM6.6 bilion pada 2027. Daripada jumlah itu, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menyediakan dana RM3 bilion bagi membantu 360,000 pengusaha, manakala pembiayaan TEKUN Nasional dinaikkan kepada RM1.3 bilion.

 

Bagi membantu usahawan masyarakat India, pembiayaan menerusi TEKUN dan AIM ditingkatkan kepada RM150 juta. Bank Simpanan Nasional (BSN) pula menyediakan RM1.7 bilion dalam bentuk pembiayaan mikro, termasuk untuk golongan belia, pekerja gig, penjaja dan kumpulan rentan.

 

Dalam perkembangan lain, institusi perbankan akan menawarkan kad kredit asas dengan kadar faedah tidak melebihi 14% setahun. Kemudahan itu ditawarkan oleh Alliance Bank, Maybank dan CIMB.

 

Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) menambah RM5 bilion lagi kepada dana pembiayaan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat konflik di Asia Barat, menjadikan jumlah pembiayaan yang disediakan sehingga RM10 bilion.

 

Penambahan dana itu bertujuan membantu perniagaan yang terkesan menghadapi cabaran operasi dan aliran tunai susulan ketidaktentuan geopolitik global. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved