Hasil takaful Takaful Malaysia meningkat 7% kepada RM2 bilion, keuntungan sebelum zakat dan cukai cecah RM305.6 juta

LocalBusiness & Finance
21 Aug 2026 • 12:25 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hasil takaful Takaful Malaysia meningkat 7% kepada RM2 bilion, keuntungan sebelum zakat dan cukai cecah RM305.6 juta Image from: Hasil takaful Takaful Malaysia meningkat 7% kepada RM2 bilion, keuntungan sebelum zakat dan cukai cecah RM305.6 juta johardy21/08/2026 - 12:25 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd mencatatkan hasil takaful RM2 bilion bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, meningkat 7% daripada RM1.8 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, disokong pertumbuhan perniagaan takaful keluarga dan takaful am.

 

Keuntungan sebelum zakat dan cukai meningkat 6% kepada RM305.6 juta berbanding RM287 juta sebelumnya, dipacu pelepasan margin perkhidmatan kontraktual (CSM) yang kukuh serta pendapatan pelaburan bersih lebih tinggi.

 

Kumpulan itu berkata, peningkatan hasil dan keuntungan berkenaan mencerminkan kekuatan perniagaan takaful terasnya serta keberkesanan pendekatan berdisiplin terhadap pertumbuhan, keuntungan dan pengurusan risiko dalam persekitaran operasi yang dinamik.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, prestasi suku kedua menunjukkan daya tahan perniagaan dan keberkesanan strategi kumpulan, dengan kedua-dua segmen takaful keluarga dan takaful am terus mencatatkan pertumbuhan positif.

 

“Pencapaian ini bukan sekadar pertumbuhan angka. Kualiti dan kemampanan pendapatan kekal menjadi teras strategi kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.


 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal

 


Menurut beliau, portfolio yang pelbagai, pendekatan berdisiplin dalam pengunderaitan dan pelaburan serta pelepasan CSM yang kukuh memberikan asas kepada keupayaan kumpulan mengharungi perubahan pasaran sambil mengekalkan pertumbuhan mampan.

 

“Kami kekal fokus untuk membina perniagaan takaful yang lebih kukuh dan bersedia untuk masa hadapan, responsif terhadap keperluan pelanggan, tangkas dari segi komersial serta berupaya memberikan nilai konsisten kepada pelanggan, pemegang saham dan pihak berkepentingan,” katanya.

 

Takaful am tumbuh 16.1%

Perniagaan takaful keluarga mengekalkan momentum pertumbuhan apabila hasil takaful meningkat 5.7% kepada RM1.16 bilion daripada RM1.09 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Prestasi itu disokong pelepasan caruman lebih tinggi dan peningkatan perlindungan takaful, sekali gus mencerminkan permintaan berterusan terhadap perlindungan keluarga.

 

Perniagaan takaful am pula merekodkan hasil takaful RM806.7 juta, melonjak 16.1% daripada RM694.6 juta dalam tempoh sama tahun lalu, terutamanya hasil peningkatan caruman daripada segmen motor.

 

Takaful Malaysia berkata, pertumbuhan kedua-dua segmen berkenaan menyerlahkan kekuatan portfolio kumpulan yang pelbagai serta keupayaannya memanfaatkan peluang merentasi pelbagai segmen pelanggan dan keperluan perlindungan.

 

Sasar pertumbuhan berkualiti

Menjelang separuh kedua 2026, kumpulan akan memberi tumpuan untuk menterjemahkan asas perniagaan yang kukuh kepada pertumbuhan berkualiti dan mampan.

 

Takaful Malaysia melihat peluang pertumbuhan berikutan asas ekonomi yang berdaya tahan, jurang perlindungan yang masih ketara serta peningkatan kesedaran dalam kalangan individu, perniagaan dan institusi mengenai keperluan perlindungan kewangan menyeluruh.

 

Kumpulan akan terus memanfaatkan kerjasama bankatakaful untuk memperluas kedudukannya dalam segmen runcit menerusi produk berasaskan khidmat nasihat dan caruman berkala.

 

Langkah itu bertujuan menjangkau segmen pasaran yang masih kurang diterokai, di samping memperluas akses kepada produk takaful.

 

Platform digital Kaotim juga akan terus dimanfaatkan bagi meningkatkan penglibatan pelanggan dan menyediakan saluran alternatif untuk mendapatkan produk takaful dengan lebih mudah serta mampu milik.

 

Menurut kumpulan itu, usaha tersebut mencerminkan komitmennya untuk menjadikan perlindungan takaful lebih mudah diakses menerusi pengalaman pelanggan yang lancar.

 

Penembusan takaful masih rendah

Dengan kadar penembusan takaful di Malaysia yang masih relatif rendah, kumpulan itu melihat ruang untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perlindungan mampu milik, perancangan kewangan dan perlindungan perubatan.

 

Dinamik pasaran berkenaan dijangka membantu Takaful Malaysia memperluas kehadirannya dalam industri, di samping menjana pertumbuhan mampan dan mencipta nilai jangka panjang.

 

Kumpulan itu juga akan terus mempelbagaikan dan memperkukuh portfolionya melangkaui takaful motor.

 

Peluang pertumbuhan dikenal pasti dalam segmen komersial dan runcit pasaran takaful am, khususnya perlindungan aset yang berpotensi tinggi tetapi masih belum diterokai sepenuhnya.

 

Dengan memanfaatkan peluang tersebut, Takaful Malaysia berhasrat melonjakkan pertumbuhan serta memperkukuh aspirasinya untuk menjadi penyedia takaful terkemuka dan peneraju industri di Malaysia.

 

Kumpulan akan terus mengamalkan pendekatan berdisiplin dalam pengunderaitan, peruntukan modal dan pengurusan risiko bagi memastikan pertumbuhan disokong asas kewangan yang kukuh dan mampan.

 

Pendigitalan kekal pemacu utama

Nor Azman berkata, fasa pertumbuhan seterusnya bukan sekadar bertujuan mengembangkan perniagaan, sebaliknya turut memberikan penekanan terhadap kualiti pertumbuhan dan hubungan dengan pelanggan.

 

“Fokus kami adalah untuk memperkukuh kualiti pertumbuhan, mempererat hubungan dengan pelanggan serta mencipta nilai lebih besar dalam ekosistem takaful,” katanya.

 

Beliau berkata, kumpulan akan terus melabur dalam modal insan, teknologi, produk dan keupayaan pengedaran, selain memperkukuh kerjasama strategik.

 

Pendigitalan akan kekal sebagai pemacu penting dalam menjadikan takaful lebih mudah diakses, relevan dan mudah untuk pelanggan.

 

“Dengan model perniagaan yang pelbagai, asas kukuh serta hala tuju strategik yang jelas, kami berada pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkan peluang baharu sambil kekal berdisiplin dalam menguruskan risiko.

 

“Kami akan terus melaksanakan strategi dengan fokus dan tangkas bagi mencapai pertumbuhan mampan jangka panjang serta mencipta nilai berkekalan untuk pelanggan, pemegang saham dan pihak berkepentingan lain,” katanya. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved