Prestasi Cuckoo Malaysia kembali pulih pada 2QFY2026 dengan PAT meningkat kepada RM28 juta

LocalBusiness & Finance
21 Aug 2026 • 5:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prestasi Cuckoo Malaysia kembali pulih pada 2QFY2026 dengan PAT meningkat kepada RM28 juta Image from: Prestasi Cuckoo Malaysia kembali pulih pada 2QFY2026 dengan PAT meningkat kepada RM28 juta liza21/08/2026 - 17:26 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Ogos – Cuckoo International (MAL) Berhad mencatat keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM28.2 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (Q2FY2026), meningkat 12.8% berbanding RM25 juta pada suku pertama tahun kewangan 2026.

 

Peningkatan itu didorong oleh pertumbuhan hasil sebanyak 7.9% kepada RM245.9 juta secara suku ke suku (QoQ), selari dengan peningkatan jumlah unit produk yang dijual sepanjang suku berkenaan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Cuckoo berkata keuntungan kasar syarikat turut meningkat 11.4% kepada RM89.3 juta, manakala margin keuntungan kasar bertambah baik kepada 36.3% daripada 31.7% dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

“Pada masa sama, perbelanjaan pengedaran dan pentadbiran masing-masing berkurang 6.8% dan 14.5% secara suku ke suku, hasil daripada perbelanjaan pemasaran yang lebih berfokus, proses kerja yang diperkemas serta pengoptimuman jumlah pekerja.

 

“Keadaan pembayaran balik pelanggan juga menunjukkan peningkatan apabila kerugian bersih daripada rosot nilai instrumen kewangan susut 10.2% kepada RM16.6 juta, membantu keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 12.4% kepada RM37.9 juta,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Prestasi Lebih Baik Walaupun Permintaan Pengguna Masih Lemah

Secara tahunan, PAT pada suku kedua FY26 meningkat 2.9% daripada RM27.4 juta kepada RM28.2 juta walaupun hasil susut 19.8% kepada RM245.9 juta berikutan permintaan pengguna yang lebih perlahan dan jumlah unit terjual yang lebih rendah.

 

PBT pula kekal agak stabil pada RM37.9 juta, berbanding RM38.5 juta dalam 2QFY2025, mencatatkan penurunan kecil sebanyak 1.5%.

 

Margin keuntungan kasar yang lebih tinggi turut membantu mengurangkan kesan penurunan hasil dengan syarikat mendapat manfaat daripada kos produk yang lebih rendah susulan pengukuhan purata Ringgit Malaysia serta pengurangan kos mendapatkan pelanggan.

 

Perbelanjaan pengedaran dan pentadbiran masing-masing turun 7.2% dan 37.5% secara tahunan, disokong oleh pengurangan kos pemasaran dan pekerja serta ketiadaan perbelanjaan tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM4.7 juta yang direkodkan pada 2QFY2025.

 

Selain itu, kerugian bersih daripada rosot nilai instrumen kewangan turun 18.9% kepada RM16.6 juta berbanding setahun lalu, mencerminkan corak pembayaran balik pelanggan yang semakin baik selepas langkah penilaian kredit yang lebih ketat dilaksanakan pada Julai 2025.

 

Hasil Enam Bulan Masih Menurun

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026 (H1FY2026), Cuckoo Malaysia merekodkan hasil sebanyak RM473.8 juta dan PAT RM53.2 juta.

 

Hasil bagi tempoh tersebut susut 21.4% berbanding tahun sebelumnya, manakala PAT turun 3.7%. Bagaimanapun, margin keuntungan kasar H1FY2026 bertambah baik kepada 37.3% daripada 31.7% dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Bukan Bebas Cuckoo Malaysia, Hoe Kian Choon berkata peningkatan prestasi secara suku ke suku menunjukkan langkah yang diambil syarikat untuk memperkukuh kualiti dan daya tahan perniagaan mula membuahkan hasil.

 

Beliau berkata syarikat melihat momentum jualan yang lebih baik, tingkah laku pembayaran pelanggan yang semakin positif, keuntungan yang lebih kukuh serta pengoptimuman kos berterusan pada suku berkenaan.

 

Cuckoo Malaysia juga mengekalkan kedudukan kewangan yang sihat dengan jumlah ekuiti meningkat kepada RM1.13 bilion pada 30 Jun 2026 daripada RM1.11 bilion pada 31 Disember 2025.

 

Jumlah pinjaman dan hutang pula terus berkurang kepada RM99.3 juta berbanding RM139.6 juta pada akhir tahun kewangan 2025, manakala syarikat menjana aliran tunai operasi bersih sebanyak RM70.5 juta sepanjang H1FY2026.

 

Tunai dan setara tunai syarikat berjumlah RM60.4 juta pada akhir tempoh pelaporan, selain Cuckoo Malaysia telah membayar dividen akhir sebanyak 1.84 sen sesaham atau kira-kira RM26.4 juta pada 15 Mei 2026 bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved