DNeX kembali untung RM44.9 juta pada 1HFY26 selepas rugi RM82.3 juta

LocalBusiness & Finance
21 Aug 2026 • 5:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

DNeX kembali untung RM44.9 juta pada 1HFY26 selepas rugi RM82.3 juta Image from: DNeX kembali untung RM44.9 juta pada 1HFY26 selepas rugi RM82.3 juta hamden21/08/2026 - 17:40 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Dagang NeXchange Bhd (DNeX) kembali mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM44.9 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026 (1HFY26), berbanding kerugian RM82.3 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Pemulihan ketara itu didorong prestasi lebih baik merentasi perniagaan Semikonduktor dan Teknologi Maklumat (IT), selain perbandingan tahun sebelumnya yang terjejas oleh caj cukai tertunda perakaunan bukan tunai sekali sahaja sebanyak RM105 juta berkaitan perubahan kepada United Kingdom Energy Profits Levy (EPL).

 

Bagi tempoh sama, keuntungan sebelum cukai (PBT) Kumpulan meningkat 71% kepada RM56 juta, berbanding RM32.7 juta pada 1HFY25.

 

Hasil Kumpulan bagaimanapun susut sedikit kepada RM552.4 juta berbanding RM559.5 juta setahun sebelumnya, terutamanya akibat kesan terjemahan mata wang susulan pengukuhan Ringgit berbanding Dolar Amerika Syarikat dan Pound Sterling.

 

Tidak termasuk kesan terjemahan mata wang, hasil Kumpulan sebenarnya meningkat 4% tahun ke tahun.

 

Prestasi itu turut disokong penjanaan tunai daripada operasi yang melonjak lebih empat kali ganda kepada RM216.5 juta, berbanding RM53.6 juta pada 1HFY25, sekali gus menyediakan sokongan untuk perbelanjaan modal sebanyak RM179.5 juta bagi aset semikonduktor dan tenaga.

 

2QFY26 turut catat peningkatan kukuh

Momentum pemulihan DNeX turut terserlah pada suku kedua apabila hasil Kumpulan meningkat 8% tahun ke tahun dan 6% suku ke suku kepada RM284.8 juta.

 

Keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemilik pula meningkat 33% kepada RM26.6 juta, manakala pendapatan asas sesaham meningkat kepada 0.76 sen daripada 0.57 sen pada 2QFY25.

 

Segmen Semikonduktor menjadi antara penyumbang utama pemulihan dengan hasil meningkat 21% kepada RM187.4 juta, disokong jumlah penghantaran lebih tinggi dan peningkatan purata harga jualan.

 

Produk Teknologi Baru Menjana menyumbang 57% daripada hasil segmen, meningkat daripada 45% setahun lalu.

 

Segmen itu turut beralih kepada keuntungan sebelum cukai RM16 juta, berbanding kerugian sebelum cukai RM28.9 juta pada 2QFY25.

 

Sementara itu, segmen IT mencatatkan PBT RM21.7 juta, meningkat 40% daripada RM15.5 juta setahun lalu, manakala hasil meningkat 5% kepada RM42.7 juta berikutan peningkatan aktiviti perdagangan dan jumlah transaksi.

 

Kedudukan tunai kekal kukuh

DNeX mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh setakat 30 Jun 2026 dengan jumlah tunai sebanyak RM694.7 juta, berbanding pinjaman RM167.1 juta.

 

Jumlah aset Kumpulan berada pada RM3.6 bilion, manakala jumlah ekuiti berjumlah RM1.7 bilion.

 

Pegawai Pemangku Ketua Operasi Kumpulan dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan DNeX, Vinie Chong Pui Ling berkata, peningkatan pendapatan mencerminkan manfaat penyatuan strategik serta inisiatif pengoptimuman kos dan integrasi yang dilaksanakan di seluruh Kumpulan.

 

“Usaha ini telah mengukuhkan kedudukan kunci kira-kira kami, meningkatkan leverage operasi dan meletakkan Kumpulan pada kedudukan yang lebih kukuh serta berdaya tahan,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved