‘Dua kali saya lalu tapi tak nampak jasad bapa’

4 Oct 2026 • 12:49 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Dua kali saya lalu tapi tak nampak jasad bapa’

SUNGAI PETANI – Anak kepada warga emas, Mat Yusof Hashim, 77, yang ditemukan meninggal dunia selepas kereta dipandu terjunam ke dalam sungai tidak menyangka jasad bapanya berada hanya kira-kira 100 meter dari lokasi kereta ditemui.

Mohd Noor, 43, berkata, dia sendiri sudah dua kali melalui kawasan tersebut ketika mencari bapanya, namun tidak menyedari jasad mangsa.

“Saya lalu dua kali di situ termasuk pagi tadi. Memang tidak nampak sebab ada reba, selain paras sungai di sini juga agak dalam, namun surut banyak berbanding semalam.

“Bila bomba masuk cari, barulah nampak. Saya memang tidak sangka dia berada di situ,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Jalan Lubuk Segintah-Lubuk Kawah, Bukit Selambau, dekat sini hari ini.

Menurutnya, dia berada di lokasi sejak semalam dan pulang sebentar sebelum bermalam di situ bagi meneruskan pencarian.

“Saya rasa susah hati selagi tak jumpa bapa, alhamdulillah pagi ini dah jumpa. Walaupun sedih, saya reda dengan pemergiannya,” ujarnya.

Katanya, arwah bapanya merupakan seorang yang kuat bekerja dan tidak banyak bercakap, selain sudah merancang untuk mendirikan rumah tangga dengan bakal isterinya, Nisun Che Mat, 69, pada penghujung tahun ini.

“Persiapan belum dibuat sepenuhnya, masih dalam proses merancang untuk mendirikan rumah tangga,” katanya.

Jenazah Mat Yusof dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Teloi Timur, dekat sini setelah selesai proses bedah siasat.

Terdahulu Kosmo! Online melaporkan penantian keluarga berakhir pilu apabila jasad seorang warga emas yang hilang selepas kereta dipandunya terjunam ke dalam sungai di Jalan Lubuk Segintah-Lubuk Kawah pada malam kelmarin ditemukan terapung pagi tadi.

Mayat mangsa, Mat Yusof Hashim, 77, dijumpai pasukan bomba pada pukul 9.10 pagi, kira-kira 100 meter dari lokasi kereta Proton Wira dipandunya ditemukan di dalam sungai tersebut. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Dua kali saya lalu tapi tak nampak jasad bapa’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved