Hasrat Terakhir Pelajar Hidap Leukemia Tercapai, Ikuti Kelas Buat Kali Terakhir Bersama Rakan Sekelas

Health & FitnessFamily & Parenting
19 Nov 2026 • 10:58 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Hasrat Terakhir Pelajar Hidap Leukemia Tercapai, Ikuti Kelas Buat Kali Terakhir Bersama Rakan Sekelas

Setiap orang sudah tentu mempunyai hasrat tersendiri yang ingin dicapai dalam kehidupan, apatah lagi apabila menyedari bahawa ajal semakin hampir.

Begitulah kisah seorang remaja perempuan yang menghidap leukemia dan hanya menginginkan satu perkara, iaitu mengikuti sesi pembelajaran bersama rakan sekelasnya buat kali terakhir.

Yao Yingbei atau lebih mesra dipanggil Beibei ketika itu masih berada di Gred 9 (Tingkatan 3) walaupun sudah berusia 18 tahun akibat kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Untuk rekod, Beibei disahkan menghidap leukemia lima tahun lalu sehingga terpaksa berehat sementara daripada persekolahan bagi menjalani rawatan.

Sepanjang tempoh tersebut, ibu bapanya melakukan pelbagai usaha untuk menyelamatkan nyawanya, termasuk mendapatkan seorang lagi anak dengan harapan darah tali pusatnya dapat digunakan untuk pemindahan sel stem.

Usaha itu menunjukkan perkembangan positif apabila keadaan Beibei bertambah baik selepas menjalani pemindahan tersebut, malah dia kembali ke sekolah setiap kali kesihatannya mengizinkan.

Bagaimanapun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila penyakitnya kembali menyerang kira-kira tiga bulan lalu.

Tidak berputus asa, ibu bapanya sekali lagi berusaha menyelamatkan nyawa Beibei dengan membawanya mendapatkan rawatan di beberapa hospital yang lebih baik.

Hasrat Terakhir Pelajar Hidap Leukemia Tercapai

Image from: Hasrat Terakhir Pelajar Hidap Leukemia Tercapai, Ikuti Kelas Buat Kali Terakhir Bersama Rakan Sekelas

Namun, selepas mendapati peluang untuk pulih semakin tipis, mereka akhirnya membawa Beibei kembali ke sebuah hospital di kampung halaman.

Dalam keadaan kesihatannya yang semakin merosot, guru dan rakan sekelasnya pula bergilir-gilir datang ke hospital setiap hari untuk menemaninya.

Pada minggu terakhir kehidupannya, Beibei meluahkan satu permintaan kepada gurunya yang akhirnya menyentuh hati ramai orang.

Dia hanya mahu mengikuti satu lagi sesi pembelajaran bersama rakan sekelasnya sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada dunia.

Mendengar hasrat tersebut, guru besar bersama barisan pendidik berbincang untuk mencari jalan merealisasikan impian terakhir anak murid mereka itu.

Mereka kemudian menjemput beberapa rakan sekelas Beibei ke hospital untuk mengikuti satu sesi pembelajaran seperti biasa.

Bagi menjadikan suasana lebih menyerupai sekolah, pihak hospital turut mengubah sebuah ruang menjadi bilik darjah sementara yang dihiasi patung beruang dan belon.

Malah, guru-guru turut mengingatkan semua pelajar supaya berkelakuan seperti biasa, seolah-olah mereka sedang mengikuti kelas di sekolah.

Walaupun hidungnya kerap berdarah, tulangnya mengalami kesakitan teruk dan badannya panas akibat demam, Beibei tetap mengikuti pelajaran bersama rakan-rakannya.

Baca juga:

Malah, dia terus mengulangi pelajaran yang disampaikan oleh guru di sebelahnya, seolah-olah tidak mahu melepaskan walau sesaat peluang terakhir tersebut.

Namun, kegembiraan kecil itu tidak bertahan lama apabila dua hari selepas sesi berkenaan, pada 7 November lalu, guru dan rakan-rakannya menerima khabar duka.

Beibei akhirnya meninggal dunia selepas sekian lama bertarung dengan penyakit yang dihidapinya.

Susulan pemergiannya, seorang guru memuat naik video sesi pembelajaran terakhir itu ke internet sambil mengenang anak muridnya tersebut.

Guru berkenaan turut memuji semangat Beibei yang tidak pernah luntur untuk menimba ilmu meskipun tubuhnya semakin lemah.

"Saya berharap sikap optimis dan rasa ingin tahu kamu akan terus menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda," tulisnya.

Kisah kelas terakhir Beibei itu ternyata menyentuh hati ramai pengguna media sosial yang turut berkongsi rasa sedih.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved