Hati-hati bila awan menjadi gelap

LocalEnvironment
13 Nov 2026 • 8:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Hati-hati bila awan menjadi gelap

SETIAP kali menjelang bulan September atau akhir tahun, kebanyakan kita terutama negara-negara di Asia Tenggara digeruni dengan amarah cuaca.

Bukan kerana taufan yang melampau, sebaliknya hujan lebat yang tidak berhenti seperti tiada noktahnya.

Tidak perlu pergi jauh, baru-baru ini beberapa kawasan di Shah Alam dan Sungai Buloh, Selangor dikejutkan dengan banjir besar.

Antara kawasan terjejas termasuk Kampung Melayu Subang, Paya Jaras dan Seksyen 13 Shah Alam, manakala kejadian Jambatan Jalan Gajah 16 Sungai Buloh turut dilaporkan.

Antara yang paling teruk terjejas ialah Kampung Melayu Subang yang menjadi ‘mangsa’ banjir luar biasa selama beberapa kali hanya dalam tempoh singkat.

Usai banjir di kawasan itu, kita digemparkan pula apabila kawasan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam di Kuala Selangor terjejas banjir.

Penyelidik Meteorologi Fakulti Sains dan Sekitaran Sains, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Chung Jing Xiang berkata, jangkaan berlakunya kejadian-kejadian cuaca ekstrem yang mendatangkan malapetaka bukan perkara mudah.

Kata beliau, hal ini kerana sifat semula jadi atmosfera yang amat sensitif kepada kekacauan kecil, menyebabkan kondisi-kondisi atmosfera yang lebih kurang, namun kejadian-kejadian yang terjadi boleh berlaku berbeza.

“Bagi orang ramai yang tidak mempunyai akses kepada sumber-sumber untuk meramal kejadian cuaca ekstrem yang bakal berlaku, kita sebenarnya boleh melindungi kita dengan melengkapkan kita sendiri dengan ilmu pengetahuan berkenaan corak iklim di tempat kita tinggal ataupun bakal melawat.

“Contohnya, kita semua tahu corak iklim di pantai timur Semanjung Malaysia julat hujannya lebih tinggi menjelang hujung tahun.

“Walaupun pengetahuan ini tidak akan memberitahu kita pada hari apa atau masa bila hujan lebat akan turun tetapi ianya boleh menyebabkan risiko bahawa kita mungkin boleh terkena dengan cabaran cuaca ekstrem,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, walaupun ada sesetengah mungkin berada di tempat yang kurang berisiko dilanda cuaca ekstrem, ia juga tidak seharusnya dipandang enteng yang mana kita akan terlindung daripada cuaca buruk tersebut.

“Kita tidak boleh menolak hukum alam tetapi kita boleh menjauhinya dengan sentiasa peka terhadap nasihat-nasihat dan amaran-amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa yang bertauliah, seperti Jabatan Meteorologi Malaysia, dan bukannya daripada sumber tidak sahih di media sosial,” katanya.

Selain Malaysia, berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh agnesi berita AFP, angka korban akibat banjir di Thailand sejak pertengahan September lalu telah mengorbankan 60 nyawa dengan paras air sungai meningkat di beberapa wilayah.

Jabatan Pencegahan dan Pengurangan Bencana negara itu berkata, hujan lebat berterusan akhir bulan lalu telah menenggelamkan beberapa bahagian di ibu negara, Bangkok, walaupun banjir di situ sebahagian besarnya telah mula surut.

Situasi kekal sukar bagi ramai penduduk di wilayah tengah Prachinburi, di mana 19 orang dilaporkan terkorban.

Kesimpulannya, amaran awan gelap di tengah malam bukan sekadar petanda untuk ‘angkat pakaian’, tetapi loceng amaran agar masyarakat memperkukuh daya tahan komuniti, meningkatkan kesiapsiagaan infrastruktur, dan sentiasa mendahului keselamatan diri serta keluarga.

The post Hati-hati bila awan menjadi gelap appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved