
SHAH ALAM, 15 OGOS: Panggilan telefon yang tidak berjawab dan mesej tanpa balasan menguatkan kebimbangan seorang suami selepas melihat video tular kemalangan maut membabitkan lori tangki dan sebuah kereta di Kilometer 9, Jalan Temerloh-Triang dekat Kampung Lebak, semalam.
Saifulnizam Sulaiman, 39, berkata isterinya, Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39, bersama anak mereka, Muhamad Fattah Aisy, 12, bertolak dari Jerantut kira-kira jam 2 petang menuju ke Seremban untuk bertemunya.
"Sebaik melihat video tular itu, saya terus menghubungi isteri tetapi panggilan tidak berjawab dan mesej yang dihantar juga tidak dibalas.
"Ketika itu, hati saya terus terdetik dan saya sudah menjangka mangsa kemalangan itu ialah isteri dan anak saya," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh hari ini, seperti dilapor BH.

Menurut Saifulnizam, beliau berada di Seremban atas urusan kerja ketika kejadian, manakala isteri dan anaknya memulakan perjalanan selepas Muhamad Fattah Aisy selesai bersekolah dan dijangka tiba sekitar jam 6 petang.
Beliau kemudian menghubungi ahli keluarga di Pahang bagi mendapatkan pengesahan sebelum bergegas ke Temerloh untuk mengetahui keadaan sebenar.
"Saya terus bergegas ke Temerloh untuk mendapatkan kepastian dan sudah melihat serta memeluk jasad anak dan isteri saya di unit forensik.
"Sekarang keutamaan saya ialah menguruskan jenazah anak dan isteri secepat mungkin," katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, lori tangki membawa muatan 32,000 liter bahan api dari arah Bera ke Temerloh dilaporkan terbabas dan terbalik sebelum menghempap kereta dinaiki dua beranak berkenaan.
Kedua-dua mangsa ditemukan rentung, manakala pemandu lori tangki berusia 37 tahun mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, pemandu lori tangki terbabit direman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata, keluarga mangsa sudah tampil memberikan keterangan, namun pengesahan identiti akan dilakukan menerusi perbandingan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).



