TEMERLOH - [DIKEMAS KINI] "Minta maaf tak dapat berurusan apa-apa buat masa ini, isteri dan anak saya meninggal dunia.
Demikian perkongsian pilu Saifulnizam Sulaiman, suami Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39, dan ayah kepada Muhamad Fattah Aisy Naufal, 12, yang meninggal dunia dalam tragedi lori tangki hempap kereta sebelum terbakar di Jalan Temerloh-Triang berhampiran Kampung Lebak, Temerloh, Pahang pada petang Jumaat.
Saifulnizam menerusi hantaran di status WhatsApp yang dirakam rakannya berkata, pasukannya akan berurusan dengan rakan-rakan untuk sebarang perkembangan lanjut.
"Minta maaf, insya-ALLAH pasukan saya akan berurusan dengan kawan-kawan semua.
**media[3615597]**
ARTIKEL BERKAITAN: Nahas lori tangki dan kereta: Mangsa rentung dipercayai wanita dan anak lelaki 12 tahun
Kereta dihempap lori tangki sebelum terbakar, pemandu dan penumpang disyaki rentung
"Doakan saya, ahli keluarga beserta isteri dan anak saya semoga diletakkan bersama orang-orang yang soleh serta solehah," kata pengusaha benih ikan itu.
Saifulnizam turut memaklumkan bahawa isteri dan anaknya meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, kereta dinaiki dua beranak terbabit dilaporkan dari Jerantut menuju Seremban, Negeri Sembilan.
Menurut beliau, kereta dinaiki mangsa dihempap lori tangki membawa 32,000 liter petrol dan diesel.
**media[3615600]**
Jelasnya, lori tangki terbabit dalam perjalanan dari Bera ke Temerloh.
Ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan terbabit terbabas lalu terbalik dan menghempap kenderaan jenis Perodua Bezza dinaiki dua beranak terbabit.
Akibat kemalangan tersebut, kereta dan lori tangki terbakar menyebabkan dua beranak itu rentung.
"Walaupun keluarga mangsa sudah tampil memberi keterangan kepada polis, namun pengesahan identiti kedua-duanya akan dijalankan melalui perbandingan DNA waris," kata Mohd Nasyim dalam kenyataan.
Tambah beliau, pemandu lori tangki berusia 37 tahun yang terbabit dalam nahas itu bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan.
**media[3615646]**
Mayat dua beranak tersebut dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa memberitahu, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu pada jam 4.08 petang.
**media[3615647]**
Menurutnya, seramai 11 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin dan Temerloh digerakkan ke lokasi kejadian.
"Ketika tiba di lokasi didapati kedua-dua kenderaan sedang terbakar dan bomba mengambil masa lebih dua jam untuk memadam kebakaran," ujarnya lagi.




![[VIDEO] Satu-satu serpihan tulang dua beranak dihempap lori tangki dikeluarkan](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/maut-temerloh-1024x653.jpeg)
