
PETALING JAYA: Jaguh angkat berat kebangsaan Pahang, Muhammad Farris Haikal Kamarul membuktikan keunggulannya apabila menguasai kategori lebih 110 kilogram (kg) lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, di Stadium Majlis Perbandaran Kajang, hari ini.
Farris yang mewakili Sukan Komanwel Glasgow 2026 baru-baru ini tampil jauh meninggalkan pencabar apabila mengumpul keseluruhan 305kg menerusi angkatan 135kg dalam snatch dan 170kg dalam clean and jerk untuk menewaskan pencabar terdekat dengan jurang 31kg.
Pingat perak menjadi milik wakil Johor, Isaac Masne selepas mengumpul 274kg hasil angkatan 112kg dalam snatch dan 162kg clean and jerk, manakala Muhammad Al Iqram Hamizan Rostan dari Terengganu meraih gangsa dengan 273kg (120kg, 153kg).
Bagaimanapun, catatan Farris kali ini masih belum menyamai prestasinya pada Sukan Komanwel Glasgow bulan lalu apabila dia mengangkat keseluruhan 322kg menerusi 142kg snatch dan 180kg clean and jerk.
Keputusan itu tetap membuktikan Farris berada dalam kelas tersendiri apabila kelebihan 31kg ke atas pencabar terdekat sudah cukup untuk membawanya berdiri megah di podium tertinggi. – UTUSAN
The post Farris pamer angkatan emas buat Pahang appeared first on Utusan Malaysia.






