Hayati nilai takwa dan semangat ibadah haji

19 May 2026 • 9:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Hayati nilai takwa dan semangat ibadah haji
Marhaini

SHAH ALAM – Program Arafah #QuranHour 2026 yang kini memasuki tahun keenam penganjuran membawa mesej lebih besar dengan menekankan penghayatan semula nilai ketakwaan serta ibadah haji dalam kalangan umat Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, penghayatan itu bakal memberi manfaat kepada diri sendiri, malah turut menyumbang kepada kemajuan agama, masyarakat dan negara.

Menurut beliau, program bertemakan The Chosen One itu mengangkat dua surah utama iaitu Surah al-Muzzammil dan Surah al-Hajj sempena perhimpunan terbesar umat Islam di Padang Arafah, Makkah pada 9 Zulhijah.

“Tema ini berpandukan Surah al-Hajj ayat 78 yang menyebut seorang hamba yang telah melakukan persediaan sebaiknya untuk beribadah dalam agama adalah kerana dorongan ALLAH SWT baginya.

“Maka, Arafah #QuranHour 2026 ingin mengajak semua umat Islam melakukan persiapan terbaik sama ada dari sudut jasmani mahupun rohani untuk menjadi hamba pilihan ALLAH SWT kerana ia merupakan satu pengiktirafan yang amat istimewa.

“Menerusi program ini juga, setiap tahun kita ingin menekankan bahawa haji itu bukan sekadar diam, tetapi bergerak seiring dengan panduan daripada Surah al-Hajj untuk terus membawa kebaikan dan berjihad sepanjang hidup,” katanya kepada Sinar Harian.

Marhaini berkata, dalam konteks Hari Arafah, Surah al-Muzzammil mengajarkan umat Islam untuk melaksanakan persiapan takwa yang dibina pada sepertiga malam.

Jelas beliau, takwa yang dibina pada waktu malam menjadi bekalan untuk menghadapi siang yang panjang termasuk ketika menghadapi manasik haji dan kehidupan secara umumnya.

Tambahnya, Surah al-Hajj pula mengukuhkan takwa yang telah dibina pada waktu malam menerusi galakan melaksanakan ibadah korban dan haji yang menuntut pengorbanan harta, jiwa serta tenaga yang tinggi.

“Kedua-dua surah ini membawa nilai yang sangat besar dalam membentuk jiwa seorang Muslim yang sentiasa bersedia untuk berkorban, hujjaj yang berjiwa besar untuk melaksanakan perubahan dan seorang hamba yang merendah diri kepada Tuhannya,” ujarnya.

Arafah #QuranHour 2026 boleh disaksikan secara langsung menerusi Facebook dan YouTube QuranHour, My #QuranTime serta Sinar Harian pada jam 5 petang hingga 6 petang, 26 Mei bersamaan 9 Zulhijah 1447H.

Pelaksanaan secara fizikal di Arafah dan Makkah pula akan dijalankan menerusi beberapa agensi iaitu Tabung Haji HQ, Tabung Haji Travel & Tours, Amani Travel, Juara Travel, Andalusia Travel dan Zahafiz Travel & Tours.