liza25/09/2026 - 12:33 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Sept – Keuntungan HE Group Berhad dijangka meningkat ketara dalam tempoh tiga tahun akan datang, disokong pertumbuhan kontrak daripada projek pusat data dan sektor semikonduktor, menurut PublicInvest Research.
PublicInvest mengunjurkan keuntungan selepas cukai HE Group meningkat kepada RM20.3 juta pada FY2026 daripada RM11 juta pada FY2025, sebelum meningkat lagi kepada RM38.4 juta pada FY2027 dan RM42.1 juta pada FY2028.
“Jangkaan itu disokong baki kontrak belum dilaksanakan kumpulan sebanyak RM441.3 juta serta nilai kontrak yang sedang ditender sekitar RM1 bilion, dengan kira-kira 80% daripadanya berkaitan projek pusat data.
“Saluran tender pusat data yang kukuh dan peningkatan penglibatan HE Group dalam sektor semikonduktor memberikan keterlihatan pendapatan kepada kumpulan dalam tempoh terdekat hingga sederhana,” kata PublicInvest dalam nota kajiannya.
Firma penyelidikan itu turut menaikkan unjuran keuntungan HE Group bagi FY2026 hingga FY2028 masing-masing sebanyak 8%, 11% dan 10%, susulan jangkaan penukaran kontrak yang berterusan.
Kontrak RM124 juta tambah baki kerja
Dalam perkembangan terbaharu, anak syarikat milik penuh HE Group, Hexatech Engineering Sdn Bhd menerima kontrak bernilai RM124 juta bagi kerja elektrik utama untuk sebuah pusat data di Johor.
Kontrak itu dianugerahkan oleh sebuah syarikat kejuruteraan, perolehan dan pengurusan pembinaan (EPCM) yang merupakan pelanggan sedia ada HE Group dan terlibat dalam sektor pembinaan, kejuruteraan awam serta minyak dan gas luar pesisir.
Skop kerja merangkumi pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan kerja elektrik utama, dengan projek itu bermula pada tarikh penerimaan kontrak dan dijadualkan siap pada 27 Mac 2028.
ARTIKEL BERKAITAN: HE Group raih subkontrak RM124 juta kerja elektrik projek pusat data di Johor
Kontrak baharu itu meningkatkan baki kontrak belum dilaksanakan HE Group kepada kira-kira RM441.3 juta, manakala nilai kontrak yang sedang ditender kumpulan mencecah kira-kira RM1 bilion.
Daripada jumlah tender itu, kira-kira 80% berkaitan projek pusat data, manakala selebihnya daripada sektor semikonduktor, sekali gus menyediakan asas untuk penggantian kontrak sepanjang baki tahun ini.
Sasaran kontrak 2026 dinaikkan
Susulan perkembangan berkenaan, PublicInvest menaikkan sasaran penggantian baki kontrak HE Group bagi FY2026 kepada RM500 juta daripada anggaran sebelumnya.
Ini bermakna HE Group telah mencapai kira-kira 89% daripada sasaran kontrak baharu RM500 juta yang ditetapkan PublicInvest, dengan kira-kira RM56 juta lagi diperlukan untuk mencapai sasaran tersebut.
PublicInvest berkata pelaburan berterusan dalam infrastruktur pusat data dan semikonduktor selari dengan kepakaran HE Group dalam kejuruteraan elektrik, sekali gus memberikan peluang kepada kumpulan untuk memperoleh lebih banyak kontrak.
Dalam pada itu, PublicInvest menaikkan sasaran harga HE Group kepada RM1.40 daripada RM1.26 dan mengekalkan penarafan ‘Outperform’, berdasarkan 16 kali keuntungan sesaham FY2027.
Pada harga RM1.08, sasaran baharu itu mewakili potensi pulangan sebanyak 29.4%.
PublicInvest bagaimanapun berkata cabaran untuk mengekalkan tenaga kerja dan turun naik harga tembaga adalah antara perkara yang perlu dipantau secara berterusan. - DagangNews.com





