amree24/09/2026 - 17:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Sept — UUE Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya, Konnection Engineering Pte Ltd memperoleh empat kontrak bernilai keseluruhan S$9.3 juta (RM29.8 juta) bagi kerja-kerja infrastruktur kabel kuasa 400kV di Singapura.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, tender melibatkan kerja pembekalan dan pemasangan kabel tenaga 400kV, kabel tambahan serta aksesori, turut melonjakkan jumlah kemenangan kontrak kumpulan bagi tahun kewangan setakat ini kepada RM127.9 juta.
Ujarnya, empat surat penganugerahan (LOA) itu diterima daripada Wee Guan Group yang disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong, dengan SP PowerAssets Limited bertindak sebagai prinsipal bagi semua subkontrak berkenaan.
"Konnection akan bertanggungjawab melaksanakan kerja pemasangan termasuk menyediakan bahan dan tenaga kerja bagi kerja penggerudian arah mendatar (HDD) untuk pemasangan paip polietilena berketumpatan tinggi (HDPE)," jelas UUE dalam kenyataan.
Keseluruhan kerja perlu dilaksanakan mengikut spesifikasi kontrak yang ditetapkan SP PowerAssets, yang menuntut tahap ketepatan teknikal, keselamatan dan kawalan operasi yang tinggi kerana melibatkan infrastruktur rangkaian penghantaran elektrik.
Jelas kumpulan tersebut, projek berkenaan dijangka siap pada Disember 2028 dengan kontrak berkenaan dijangka dapat menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset bersih syarikat sepanjang tempoh pelaksanaannya.

Pengarah Urusan UUE, Datuk Dr Ting Kok Hwa berkata, penganugerahan empat subkontrak itu mencerminkan keyakinan Wee Guan Group dan SP PowerAssets terhadap keupayaan UUE melaksanakan kerja-kerja utiliti bawah tanah.
"Projek tersebut turut menjadi pencapaian strategik yang mengukuhkan kedudukan kumpulan sebagai penyedia rumusan kejuruteraan utiliti bawah tanah di Malaysia dan Singapura," tambah beliau.
Menurutnya, rangkaian penghantaran 400kV Singapura merupakan antara infrastruktur tenaga nasional yang memerlukan standard tinggi dari segi ketepatan teknikal, keselamatan dan disiplin operasi, sekali gus memberikan pengiktirafan keupayaan pelaksanaan UUE.
Dengan tempoh projek sehingga 2028, kontrak baharu itu turut memberikan UUE keterlihatan pendapatan bagi tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, di samping mengukuhkan buku pesanannya.
UUE berkata kumpulan akan terus memanfaatkan buku pesanan yang semakin berkembang di Malaysia dan Singapura bagi memacu pertumbuhan mampan serta mewujudkan nilai jangka panjang kepada pemegang saham. - DagangNews.com






