Heitech Padu terima kontrak RM54.3 juta untuk perkhidmatan teknikal Jabatan Pengangkutan Jalan
diyana
06/07/2023 - 18:28
KUALA LUMPUR 6 Julai - Heitech Padu Berhad telah menerima dua kontrak lanjutan perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan teknikal untuk Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata kontrak lanjutan pertama adalah untuk perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan teknikal bagi infrastruktur ICT serta sistem informasi kenderaan dan pemandu (mySIKAP) di semua pejabat JPJ.
Kontrak bernilai RM27.3 juta adalah untuk tempoh setahun bermula dari 1 Mei 2023 sehingga 30 April 2024 dan sebarang pembaharuan lanjut atau lanjutan tempoh adalah mengikut budi bicara kerajaan.
Sementara itu, kontrak lanjutan kedua adalah untuk perkhidmatan dan penyelenggaraan dan sokongan teknikal bagi perkakasan dan perisian sistem kerangka utama (mainframe) jabatan tersebut bernilai RM27 juta.
Kontrak ini juga untuk tempoh setahun bermula dari 1 Mei 2023 sehingga 30 April 2024.
Kumpulan itu berkata kedua-dua kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 dan 31 Disember 2024 (FY23/24).
HeiTech Padu terlibat dalam penyediaan penyepaduan sistem, perkhidmatan berkaitan rangkaian, pengurusan pusat data, perkhidmatan pemulihan bencana dan perkhidmatan berkaitan teknologi maklumat lain.
Saham Heitech Padu ditutup pada 62 sen hari ini, memberi kumpulan itu modal pasaran bernilai RM62.8 juta. - DagangNews.com



