SCIB terima kontrak lebih RM8 juta bagi projek perumahan di Kelantan

Business & Finance
4 Jul 2023 • 2:37 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SCIB terima kontrak lebih RM8 juta bagi projek perumahan di Kelantan

diyana

04/07/2023 - 14:37

KUALA LUMPUR 4 Julai - Pakar kejuruteraan awam, Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) melalui anak syarikatnya, SCIB Industrialized Building System Sdn. Bhd. (SCIB IBS) telah dilantik sebagai subkontraktor utama untuk projek pembangunan perumahan di Bachok, Kelantan.

Menurut satu kenyataan media hari ini, SCIB berkata surat anugerah bernilai RM8.26 juta itu telah diterima daripada kontraktor utama iaitu MinDagang Resources Sdn Bhd pada 4 Julai.

Projek tersebut adalah di bawah SPP Development Sdn Bhd iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), yang terdiri daripada pembinaan 35 rumah teres satu tingkat dan 12 rumah teres dua tingkat.

Tempoh pembinaan ditetapkan selama 16 bulan dengan semua terma dan syarat perlu dipersetujui dan ditandatangani dalam perjanjian kontrak yang akan datang, di mana menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, SCIB berkata projek itu dijangka siap pada 29 Oktober 2024.

“Projek itu, sebagai sebahagian daripada geran persekutuan RM400 juta untuk perumahan negeri, bukan sahaja menawarkan bayaran terjamin tetapi juga menggariskan reputasi SCIB yang semakin meningkat dalam industri,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Menurut SCIB, perkembangan baharu ini bakal mengukuhkan kestabilan dan keteguhan kewangan SCIB serta membuka jalan kepada peluang pertumbuhan masa hadapan, sekali gus mewujudkan nilai pemegang saham bagi jangka panjang.

Selain itu, SCIB menekankan bahawa kerjasama perniagaan berterusan dengan entiti kerajaan negeri bukan sahaja meningkatkan reputasinya tetapi juga membuka peluang baharu.

“Langkah-langkah strategik ini sejajar dengan matlamat syarikat untuk mengekalkan keuntungan sementara menyampaikan nilai kepada semua pemegang kepentingannya, menguatkan daya tahan kewangan SCIB dalam pasaran yang kompetitif,” tambahnya.

Pengarah Urusan SCIB, Ku Chong Hong berpuas hati dengan pencapaian baharu ini dan berharap kumpulan itu meraih lebih banyak projek, mengukuhkan kedudukan kumpulan.

image is not available
Ku Chong Hong

"Pemilihan SCIB IBS sebagai subkontraktor utama untuk projek perumahan ini adalah bukti keupayaan kukuh kami dalam sektor pembinaan. Kami berharap dapat melaksanakan kerja-kerja terbaik dan mengukuhkan hubungan kami dengan entiti kerajaan negeri untuk lebih banyak projek pada masa hadapan," ujar beliau.

Menurut SCIB, buku pesanannya pada akhir 3QFY23 mempunyai nilai kontrak terkumpul sebanyak RM495.3 juta.

Pada waktu penulisan, saham SCIB susut 1 sen atau 2.1% yang menilai modal pasarannya pada RM294.5 juta. - DagangNews.com