Sunway Construction terima kontrak baik pulih pusat komersial bernilai RM253 juta daripada Sunway REIT
azan
04/07/2023 - 09:12
KUALA LUMPUR 4 Julai - Sunway Construction Group Berhad (SunCon) menerima kontrak bernilai RM253 juta daripada Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) bagi kerja-kerja untuk membaik pulih kompleks beli-belah dan pusat komersial di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, anak syarikat milik penuhnya Sunway Construction Sdn. Bhd. menerima surat anugerah daripada Sunway REIT.
“Projek itu adalah untuk tempoh 24 bulan dari tarikh permulaan 1 Julai 2023, dan dijangka siap pada 30 Jun, 2025.
"Projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan SunCon Group bagi kewangan tahun berakhir 31 Disember 2023 dan seterusnya," katanya.
Jumlah projek baharu yang diperolehi oleh kumpulan itu tahun ini termasuk projek yang dinyatakan di atas mencecah RM1.53 bilion.
SunCon dan Sunway REIT mempunyai pemegang saham/pemegang unit utama yang sama, manakala Sunway Berhad merupakan pemegang unit utama Sunway REIT. - DagangNews.com



