liza15/10/2026 - 17:47 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 Okt – HeiTech Padu Berhad menerima lanjutan kontrak bernilai RM19.87 juta bagi perkhidmatan penyelenggaraan Sistem Aplikasi MYIMMS secara komprehensif di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tempoh dua tahun.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat teknologi maklumat itu berkata, lanjutan kontrak berkenaan diterima pada 15 Oktober 2026, dengan tempoh pelaksanaan bermula 18 Februari 2027 hingga 17 Februari 2029.
Kontrak bernilai RM19.87 juta itu merangkumi cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak lapan peratus.
Lanjutan berkenaan membabitkan perkhidmatan penyelenggaraan sistem aplikasi MYIMMS di Jabatan Imigresen Malaysia, meneruskan kontrak sama yang sebelum ini diumumkan syarikat pada 1 Mac 2021, 11 Mac 2024 dan 17 Januari 2025.
HeiTech Padu menjangkakan lanjutan kontrak itu menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan serta aset bersih sesaham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2027 dan sepanjang tempoh lanjutan kontrak.
Bagaimanapun, syarikat tidak menyatakan anggaran jumlah keuntungan yang bakal disumbangkan oleh kontrak berkenaan. - DagangNews.com





