PULAU REDANG - Sebanyak 32 ekor hidupan liar dilindungi dan 570 ekor anak penyu dilepaskan di Taman Laut Pulau Redang, di sini sebagai langkah melestarikan ekosistem laut serta darat pada Isnin.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, spesies hidupan liar yang dilepaskan ialah empat ekor pelanduk, landak (dua ekor), empat ekor helang daripada spesies merah, hindek serta 'white bellied' serta 22 ekor ayam hutan.
Menurutnya, Perhilitan memikul tanggungjawab yang amat besar dalam memastikan khazanah alam dan biodiversiti negara terus terpelihara.
"Tugas memelihara alam bukanlah mudah kerana ia memerlukan kerjasama bersepadu antara jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh rakyat Malaysia sebagai kunci utama bagi melindungi khazanah berharga ini untuk generasi akan datang," katanya selepas Program Pelepasan Hidupan Liar di Taman Laut Pulau Redang, di sini pada Isnin.
Majlis sempena Sambutan Hari Laut Sedunia 2026 itu turut dihadiri Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain selain mendapat kerjasama Aquawalk Group Berhad serta Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Tambah Abdul Kadir, Perhilitan dan Jabatan Perikanan (DOF) merupakan tonggak utama negara dalam memelihara khazanah warisan semula jadi yang meliputi ekosistem daratan, perairan dan marin.
Sementara itu, kata Adnan, DOF terus memperkukuh komitmen dalam melindungi biodiversiti marin negara melalui pelepasan 570 ekor anak penyu agar (Chelonia mydas).
Jelasnya, penyu agar antara spesies yang paling banyak mendarat dan bersarang di perairan Malaysia, khususnya di Terengganu yang kekal sebagai lokasi persarangan utama spesies tersebut.
**media[3544858]**
"Terengganu mempunyai beberapa pantai persarangan penyu yang signifikan di peringkat nasional dan antarabangsa, antaranya Pantai Chagar Hutang dan Pantai Pasir Panjang di Pulau Redang, Pantai Rantau Abang di Dungun, Pantai Geliga dan Pantai Ma'Daerah di Kemaman serta beberapa lokasi persarangan di sekitar Pulau Perhentian dan Pulau Kapas.
"Kawasan-kawasan ini memainkan peranan penting sebagai habitat pembiakan semula jadi bagi spesies penyu yang dilindungi dan menjadi fokus utama program konservasi yang dilaksanakan DOF," ujarnya.
Katanya lagi, pelepasan 570 ekor anak penyu pada Hari Laut Sedunia ini membawa mesej yang amat signifikan bahawa setiap individu mempunyai peranan dalam memelihara lautan dan khazanah biodiversiti marin negara.
"Setiap anak penyu yang berjaya kembali ke laut merupakan harapan baharu kepada kelangsungan spesies ini serta petunjuk kepada kesihatan ekosistem marin yang kita warisi dan pelihara bersama," katanya.
Katanya lagi, sepanjang tahun 2025, Program Pengurusan dan Konservasi Penyu Negeri Terengganu merekodkan 13,180 sarang penyu agar dengan jumlah 1,066,625 biji telur berjaya dikumpulkan dan dieram.
"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 757,869 ekor anak penyu berjaya ditetaskan dan dilepaskan semula ke laut, mencatatkan kadar penetasan yang memberangsangkan iaitu 71.07 peratus.
"Selain itu, sebanyak 308 sarang tuntung laut dan 23 sarang penyu karah (Eretmochelys imbricata) turut direkodkan sepanjang tempoh yang sama," ujarnya.
Sehubungan itu, DOF menyeru orang ramai untuk terus menyokong usaha konservasi marin dengan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, menjaga kebersihan pantai serta tidak mengganggu kawasan persarangan penyu.




