
KUALA LUMPUR - Helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terlibat dalam nahas di Sarawak mempunyai Sijil Kelayakan Terbang yang masih sah sehingga 4 Ogos 2027.
Perkara itu disahkan rekod Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud, berkata, Sijil Pendaftaran bagi helikopter berkenaan pula sah sehingga 28 Julai 2029.
“Berdasarkan rekod kami, Sijil Kelayakan Terbang pesawat itu sah sehingga 4 Ogos 2027, manakala Sijil Pendaftarannya sah sehingga 28 Julai 2029,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Malaysia Aviation Safety Seminar 2026 (MASS ’26) di Kuala Lumpur hari ini.
Norazman berkata, pengendali helikopter berkenaan, Layang Layang Aerospace, mengambil langkah berjaga-jaga dengan menghentikan operasi keseluruhan armada helikopter BO105 miliknya sejurus selepas kejadian.
Selain itu, syarikat berkenaan turut menggantung operasi pesawat lain dalam armadanya yang dilengkapi enjin siri Rolls-Royce 250.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, tindakan tersebut dibuat semata-mata sebagai langkah keselamatan dan tidak seharusnya dianggap sebagai petunjuk kepada punca nahas.
“Saya ingin menegaskan bahawa penggantungan operasi ini merupakan langkah keselamatan berjaga-jaga yang diambil oleh pengendali.
"Ia tidak seharusnya ditafsirkan sebagai petunjuk bahawa enjin atau mana-mana komponen tertentu menjadi punca kemalangan,” katanya.
Dalam pada itu, Norazman menolak kebimbangan bahawa usia sesebuah helikopter menjadi faktor penentu kepada kelayakan terbang.
“Dari sudut kelayakan terbang, usia pesawat semata-mata bukan faktor penentu, selagi ia diselenggara dengan baik mengikut program penyelenggaraan yang diluluskan dan terus memenuhi semua keperluan kelayakan terbang yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata CAAM sedang memantau pelaksanaan program penggantungan operasi dan pemeriksaan yang dijalankan oleh Layang Layang Aerospace.
Pihak berkuasa itu turut menjalankan semakan terhadap semua rekod peraturan berkaitan pesawat, pengendali serta juruterbang yang terlibat. - Getaran, 10 September 2026






