Helikopter terhempas di Long Lellang, Sarawak

9 Sep 2026 • 7:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Helikopter terhempas di Long Lellang, Sarawak

PETALING JAYA: Sebuah heli­kopter yang membawa empat petugas perubatan dan seorang juruterbang terhempas berhampiran Long Lellang Short Takeoff and Landing Port (STOLport), Sarawak kira-kira pukul 3.40 pe­tang semalam.

Empat petugas perubatan terlibat terdiri daripada pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan dan dua jururawat.

Mereka dikenali sebagai Kap­ten Zainol, Dr. Ainul, Alexson Adit, Debra Moset dan Jessie Paya.

Helikopter jenis BO-105 de­ngan nom­bor pendaftaran 9M-LLF di­percayai milik Layang-Layang Aerospace Sdn. Bhd. itu menggunakan tanda panggilan ‘Medic 3’.

Pasukan penyelamat dan per­ubatan tiba di lokasi pada pukul 3.46 petang dan dilaporkan he­likopter berkenaan terbakar se­penuhnya.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Da­tuk Gerawat Gala mengesahkan kejadian itu, selepas dimaklumkan mengenai nahas oleh penduduk sekitar.

Beliau berkata, pesawat da­lam perjalanan menuju ke Long Lellang tetapi tidak mengetahui loka­si ia berlepas.

“Saya sudah memaklumkan kepada pengurusan Layang-La­yang dan yakin mereka akan memaklumkan kepada pihak berkuasa mencari dan menyelamat yang berkaitan,” katanya.

Setakat pukul 7 malam semalam, belum dapat disahkan status semua mangsa terlibat.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, lokasi kejadian mengambil masa kira-kira 10 jam dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi menggunakan jalan darat.

Katanya, polis sedang mendapatkan kebenaran penerbangan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berikutan situasi jerebu yang buruk di Sarawak.

“Ya, saya sahkan. Kejadian melibatkan perkhidmatan doktor udara.

“Kita juga akan menggunakan perkhidmatan udara ke lokasi sekiranya dibenarkan CAAM dari Pangkalan Udara Kuching memandangkan cuaca berjere­bu ketika ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sementara itu, CAAM me­ngesahkan menerima makluman mengenai kejadian daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada pukul 3.58 petang.

Menurut CAAM, helikopter berkenaan sedang menjalankan penerbangan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) dengan membawa lima individu termasuk juruterbang.

“Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan akan menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya. – UTUSAN

The post Helikopter terhempas di Long Lellang, Sarawak appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved