Kerajaan Sarawak menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga serta waris petugas Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service) yang terkorban dalam nahas helikopter berhampiran Long Lellang, Sarawak pada Selasa, 8 September 2026, jam 3.58 petang.
Para petugas laksanakan amanah penting
Menurut kenyataan kerajaan negeri, para petugas berkenaan sedang melaksanakan amanah penting membawa perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman yang sukar dihubungi melalui jalan darat.
“Jasa, dedikasi, keberanian dan pengorbanan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab demi kesejahteraan rakyat, khususnya masyarakat di kawasan pedalaman, amat besar nilainya. Khidmat bakti mereka mencerminkan keprihatinan dan komitmen dalam memastikan tiada rakyat Sarawak yang tercicir daripada menerima perkhidmatan asas yang diperlukan,”
“Sebagai tanda keprihatinan dan bagi membantu meringankan beban keluarga yang terlibat, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak bersetuju agar Kerajaan Sarawak menyalurkan sumbangan berjumlah RM100,000.00 kepada setiap keluarga petugas yang terkorban,” tulis kenyataan tersebut.

Tanggung juga yuran pendidikan anak-anak petugas yang terkorban
Selain itu, kerajaan negeri turut bersetuju menanggung sepenuhnya yuran pendidikan anak-anak petugas yang terkorban dan masih bersekolah melalui Yayasan Sarawak.
Kerajaan Sarawak turut menyifatkan khidmat bakti para petugas kepada masyarakat pedalaman dan rakyat Sarawak sebagai satu pengorbanan besar yang akan terus dikenang serta tidak dilupakan.

Dalam pada masa yang sama, kerajaan negeri turut mendoakan agar seluruh ahli keluarga dan waris diberikan kekuatan, ketabahan serta kesabaran dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.
“Bagi yang beragama Islam, Al-Fatihah. Semoga roh mereka yang telah kembali ke rahmatullah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.
Bagi yang bukan beragama Islam, semoga mereka yang telah pergi bersemadi dengan tenang dan damai serta semoga keluarga dan insan tersayang yang ditinggalkan diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan ini.
Salam takziah daripada Kerajaan Sarawak kepada seluruh ahli keluarga dan waris,” tulisnya lagi.
Sumber: Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)





