
KUALA TERENGGANU: Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini, yang sepatutnya merupakan kemudahan awam untuk orang ramai kini bertukar menjadi ‘rumah’ kepada lebih 20 gelandangan.
Tinjauan Utusan Malaysia pada waktu malam mendapati, kumpulan itu mula muncul kira-kira pukul 1 pagi dengan menjadikan bangku dan ruang menunggu sebagai tempat tidur.
Kebanyakan mereka berusia antara 30 hingga 70 tahun dan terdapat dalam kalangan mereka yang kelihatan sihat serta aktif.
Difahamkan, sebahagian gelandangan mempunyai rumah tetapi memilih menghabiskan waktu malam di hentian bas manakala sebahagian lagi dikaitkan dengan masalah keluarga dan isu sosial.
Sumber berkata, situasi itu bukan perkara baharu kerana pihak berkuasa sudah beberapa kali menjalankan operasi serta mengambil tindakan tetapi mereka tetap kembali.
Menurutnya, setiap gelandangan mempunyai latar belakang dan kisah kehidupan tersendiri yang wajar diberi perhatian, terutama golongan rentan termasuk warga emas.
“Ada seorang warga emas wanita yang setiap malam tidur di situ. Apabila siang dia balik ke rumah. Begitulah rutinnya.
“Ada juga daripada keluarga yang berpecah-belah, tidak berkahwin tetapi melahirkan anak tidak sah taraf. Saya bimbang terjadi masalah lain apabila ada kanak-kanak turut jadi gelandangan,” katanya.
Menurut sumber, keadaan itu bukan sahaja menimbulkan persoalan mengenai kebajikan, malah memberi kesan kepada keselesaan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan bas, khususnya pada sebelah malam.
Katanya, kehadiran gelandangan yang menjadikan ruang menunggu sebagai tempat tidur turut mencacatkan imej Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
“Tempat duduk yang menjadi tempat menunggu dijadikan tempat tidur mereka. Keadaan jadi kotor. Malah ada yang membawa barang keperluan mereka bersama seperti pakaian dan diletakkan di bawah tempat duduk.
“Ada yang tidak menghiraukan suasana dan hanya tidur di tempat duduk menunggu,” katanya. – UTUSAN
The post Hentian Bas MBKT jadi ‘rumah’ lebih 20 gelandangan appeared first on Utusan Malaysia.






