
KLANG – Suasana tenang ketika waktu Zuhur bertukar cemas apabila ribut kuat yang melanda Kampung Bukit Kapar, di sini, semalam, merosakkan lebih 40 buah rumah dan sebuah surau dalam tempoh kurang dua minit.
Kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu menyebabkan kebanyakan rumah penduduk mengalami kerosakan pada bahagian bumbung, malah ada yang tercabut dan diterbangkan angin.
Kekuatan ribut yang datang secara tiba-tiba itu turut menyebabkan beberapa barangan dalam rumah rosak dan pokok tumbang.
Antara yang terjejas ialah rumah pusaka milik Roslinda Shambra, 48, yang berusia lebih 60 tahun apabila keseluruhan bumbung rumah berkenaan tercabut.
Roslinda berkata, ketika kejadian dia berada di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk menziarahi adik perempuannya yang sedang sakit, manakala abangnya berada di rumah.
“Abang telefon saya tidak lama selepas kejadian dan suruh balik cepat kerana rumah sudah dibadai ribut.
“Saya tidak sangka rumah pusaka yang berusia lebih 60 tahun itu rosak teruk,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Menurutnya, kerugian yang dialaminya dianggarkan lebih RM20,000 membabitkan kerosakan televisyen, mesin membuat kuih, kipas dan beberapa peralatan lain. – KOSMO! ONLINE
The post Ribut ‘singgah’ kurang dua minit musnahkan lebih 40 rumah appeared first on Kosmo Digital.


![[VIDEO] 32 rumah Kampung Bukit Kapar rosak dilanda ribut](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-01-at-22.40.56-1024x682.jpeg)



